Sathianathan sahut cabaran debat TMJ

Sathianathan sahut cabaran debat TMJ

Sathianathan berkata, debat itu mungkin satu daripada cara untuk mengembalikan maruah bola sepak negara

sathinathan_Tunku-Ismail-Sultan-Ibrahim_600

KUALA LUMPUR:
Debat yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) mungkin adalah cara terbaik untuk mengembalikan maruah bola sepak negara.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan yang dipetik Malaysiakini berkata, beliau akan menyahut cabaran Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membahaskan isu prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

“Ia cadangan yang baik. Saya terima (cabaran itu), jika itu cara terbaik untuk mengembalikan maruah bola sepak negara,” katanya.

Semalam, TMJ melalui laman sosial Facebook Johor Southern Tigers mencabar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Sathianathan untuk berdebat.

Tunku Ismail mahu stesen televisyen berbayar, Astro menyiarkan secara langsung debat itu, bagi mengenal pasti pihak mana yang bertanggungjawab menyebabkan kemerosotan prestasi skuad negara dan tindakan yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Khairy dikritik pelbagai pihak, termasuk TMJ, susulan kenyataannya menyalahkan pemain negara sebagai antara punca ranking Harimau Malaysia jatuh ke tangga 174 dunia, rekod terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Sathianathan berharap pihak lain yang disebut TMJ akan turut menyahut cabaran Tunku Ismail.

“Sejak saya menjadi jurulatih pada 1992 sehingga sekarang, kita hanya banyak bercakap. Kita perlu mencari satu formula untuk menjadikan hasil debat itu satu kenyataan.

“Kita perlu berdebat tentang fakta dan perkara positif. Kita perlu ingat selepas debat itu, ia perlu disusuli tindakan menyeluruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.