PETALING JAYA:Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan tindakan seorang pelajar perubatan yang didakwa cuba mengemukakan soalan berbentuk provokasi kepada pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik bagi tujuan memburukkan kerajaan.
Jelas Mufti Perlis itu, pelajar berkenaan sepatutnya dipuji dan bukannya dicerca kerana keberaniannya memberikan soalan kepada penceramah antarabangsa itu.
“Mereka yang mengutuk pelajar perubatan yang bertanya Dr Zakir Naik itu, mereka yang dangkal fikirannya. Adik berkenaan masih terlalu muda. Kita kena fahami keadaan individu yang semuda itu.
“Kita juga kena tahu latar keadaannya. Mungkin sudah lama dia pendam kesusahannya. Bagi saya, dia patut dipuji kerana berani bangun bertanya, sedangkan ramai pelajar kita yang tidak berani bersuara dalam majlis yang jauh lebih kecil daripada itu,” katanya menerusi Facebook.
Pada masa sama Asri turut membidas segelintir pihak yang dilihat cuba bermain politik dengan menghina pelajar tersebut.
“Kadang-kala kita merasa satu jumlah wang itu kecil pada kita, tapi ia mungkin satu beban untuk pihak yang lain. Apa salahnya dia meluahkan keadaan dirinya sebagai seorang pelajar yang memerlukan bantuan dan ingin suaranya didengari.
“Sesetengah pihak kelihatan terlalu ingin berpolitik sehingga menghina pelajar yang semuda itu. Mari kita doakan adik itu berjaya dalam pelajarannya,” katanya.
Ahad lalu, seorang pelajar perempuan yang mengambil jurusan perubatan dalam pengajiannya dituduh cuba mengemukan soalan berbentuk provokasi dengan tujuan memburukkan kerajaan kepada Dr Zakir di Stadium Tertutup Gomg Badak, Terengganu.
Pelajar berkenaan kemudiannya telah mendapat kritika hebat di laman sosial terutamanya daripada penyokong kerajaan.
Semasa sesi soal jawab, pelajar yang didakwa berasal dari Tepoh,Kuala Nerus dan sedang menjalani pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Kuantan itu menanyakan soalan berhubung langkah kerajaan yang didakwanya tidak menghargai pelajar perubatan yang mungkin akan menemui penawar penyakit kanser apabila mengenakan caj pengajian yang tinggi sehingga memaksa pelajar berhutang.
Dr Zakir kemudian menjawab yuran pengajian bagi kos perubatan dikebanyakan negara mencecah RM100 ribu dan menyifatkan pelajar bagi kos itu di negara ini beruntung kerana kerajaan telah memberi subsidi yang banyak kepada pelajar di Malaysia.
Dr Zakir memberikan jawapan itu apabila pelajar berkenaan ketika ditanya olehnya menjawab pelajar di Malaysia membayar RM3,600 setahun untuk yuran pengajian mereka.