Halimah nafi hendak jatuhkan MB Johor

Halimah nafi hendak jatuhkan MB Johor

Halimah Mohamed Sadique menyeru rakyat Johor tidak mempercayai cerita-cerita fitnah yang sengaja digerakkan untuk memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor

halimah-khaled
JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Halimah berkata, beliau tidak faham bagaimana timbulnya ‘cerita-cerita’ tidak betul itu, sekali gus menyifatkan ia sebagai tindakan sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor.

“Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul.

“Kami, timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan,” katanya.

Ahli Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato’ Onn, hari ini.

Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menjatuhkan Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar.

Halimah berkata, kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini.

Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat.

“Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerakkan untuk memecahbelahkan perpaduan Bangsa Johor,” katanya.

– BERNAMA

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.