Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu setelah berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron supaya majlis pada 17 April di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) itu diteruskan dengan tajuk yang berbeza.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan majlis itu dibatal selepas polis menerima aduan daripada pelbagai pihak.
“Aduan yang dibuat bukan sahaja oleh pemuka-pemuka agama Hindu tetapi juga pemimpin-pemimpin agama Islam,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Makmal Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, lapor Bernama.
Khalid mengambil keputusan pembatalan forum bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ di Melaka supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini.
Pun begitu, hari ini, Ahmad Zahid mengambil keputusan sebaliknya kerana berpandangan majlis agama harus digalakkan dan diraikan.
Beliau juga menjawab, asasnya program berkaitan agama sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana bagi program yang membabitkan pendakwah daripada luar negara, maka sebarang tindakan KDN berkenaan program tersebut dibuat berdasarkan nasihat daripada Jakim.
“Itu pegangan kita … dan itu juga menjadi panduan kepada KDN, di mana agensi pelaksananya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya yang turut menambah pihaknya tidak dimaklumkan mengenai tajuk itu sebelum ia menjadi kontroversi.
Ekoran itu, beliau menyarankan penganjur agar mana-mana program ceramah umum, khususnya yang melibatkan penceramah luar negara supaya memaklumkan berkenaan tajuk dan topik perbincangan kepada Jakim terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta semua pihak berfikiran terbuka dan meraikannya atas nama majlis ilmu, bukan menyalahkan penceramah itu sebagai pusat kontroversi.
Sementara itu di Melaka, Idris menyatakan kerajaan negeri tiada halangan bagi penganjuran syarahan Dr Zakir di UTeM.
“Saya mengenali Dr Zakir Naik sebagai penceramah yang cukup luas pengetahuan dan kepakaran dalam bidang agama, malah selain memberi pengetahuan beliau penggiat kebajikan dikenali dunia,” katanya kepada pemberita.
Idris berkata beliau juga ditemui sekumpulan penganut agama bagi memohon beliau membatalkan program tersebut, namun menegaskan kepada kumpulan itu tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pegangan agama masing-masing kukuh.