MCA, Gerakan lebih ultra kiasu – Ridhuan Tee

MCA, Gerakan lebih ultra kiasu – Ridhuan Tee

Golongan ultra kiasu ini sangat kuat memperjuangkan pluralisme dan liberalisme.

Ridhuan-Tee

PETALING JAYA:
Penceramah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan parti MCA dan Gerakan lebih ultra daripada parti ultra kiasu.

Menulis di dalam kolum `Buka Minda’ di akhbar Sinar Harian, Mohd Ridhuan menegaskan, akhbar berbahasa Inggeris mereka juga lebih pro kepada ultra kiasu.

“Sedarlah diri, keberadaan mereka dalam Kabinet adalah undi ihsan orang Melayu. Terlalu banyak dedak telah diberikan. Harap UMNO sedar,” tulisnya.

Menurut Mohd Ridhuan, golongan ultra kiasu ini sangat kuat memperjuangkan pluralisme dan liberalisme.

Sasaran mereka katanya, adalah anak muda Melayu yang menyokong LGBT dan seks bebas serta mahu menjatuhkan Melayu dari Islam.

Tegasnya, Keadilan pada golongan berkenaan juga sama seperti nisbah 1=1 dan bukannya meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Keistimewaan Islam dan Melayu juga amat dicemburui kerana bagi mereka ia hanya akan menjejaskan kepentingan untuk mendapatkan sesuatu.

“Mereka ini tidak mahu melihat ada anak Melayu menutup aurat. Golongan inilah yang diambil bekerja di syarikat mereka. Mereka yang mahu kembali kepada Islam dilabelkan dengan istilah pengaraban. Mereka tidak membenarkan pekerja Islam bersolat (solat Jumaat) kerana mengganggapnya sebagai membuang masa dan merugikan syarikat.

“Dahulu mereka tidak berminat bekerja dengan sektor kerajaan, tetapi hari ini semua sektor mereka mahu masuk,” katanya.

Malah, sesuatu yang lebih dahsyat katanya ialah apabila mereka mendesak kerajaan membuka suang seluasnya untuk bukan Islam campur tangan dalam hal ehwal Islam.

Mereka juga katanya, mahukan undang-undang Islam tunduk kepada norma antarabangsa, orang Islam bebas untuk murtad dan undang-undang tidak boleh dikenakan kepada si murtad. Kes murtad atau sebarang kes Islam berkaitan mereka tidak boleh dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.

Justeru, Mohd Ridhuan menggesa umat Islam di negara ini supaya bangkit dan memastikan agar negara ini ditunjangi asas Islam dan Melayu agar tidak mudah dirobek oleh kejahatan ultra kiasu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.