Rayani Air gantung operasi serta merta

Rayani Air gantung operasi serta merta

Langkah itu sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat dan tempoh operasi penggantungan itu akan dimaklumkan kelak.

Ravi Alagendrran

PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air memutuskan untuk menggantung operasinya berkuatkuasa serta-merta.

Pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran menyatakan penggantungan itu bermula semalam sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Ingin dimaklumkan bahawa kita telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta pada 8 April 2016 sehingga dimaklumkan kemudian.

“Ia adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat. Kita akan beroperasi semula selepas melakukan penstrukturan semula,” katanya, lapor mStar Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Ravi turut memaklumkan kepada pegawainya di setiap bahagian supaya menghentikan operasi dan ‘mengira semula aset syarikat’.

“Semua bayaran balik dan pertanyaan berkaitan dengan penumpang yang telah ditempah awal, perlu dipanjangkan kepada [email protected] atau hubungi pusat panggilan di +603-27214925 (beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang),” ujar Ravi.

Sementara itu, Ravi turut mengesahkan bahawa Rayani Air terpaksa membatalkan penerbangannya semalam, berikutan mogok yang dilakukan oleh juruterbangnya.

Sekurang-kurangnya tiga penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) pada Jumaat telah dibatalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.