Menurutnya, tindakan Hindraf membantah kehadiran Zakir ke Malaysia juga tidak kena pada tempatnya memandangkan mereka beragama Hindu dan bukannya dari aliran Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA).
“Barangkali Hindraf pun terkena sindrom puak dalam masyarakat Muslim yang suka menuduh orang lain bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah.
“Soalannya, Hindraf beragama Hindu, apakah pula kaitan mereka dengan aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah?” soalnya di laman Facebook, hari ini.
Asri berkata, beliau belum pernah mendengar ucapan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2014 itu mengajak kepada permusuhan agama.
“Dr. Zakir Naik saya belum pernah dengar ucapan beliau yang mengajak kepada permusuhan antara agama. Beliau hanya bercakap tajuk perbandingan antara agama.
“Bicara beliau bersifat intelectual discourse. Jika Hindraf ataupun kumpulan yang menamakan diri mereka ASWAJA tidak setuju, mereka mungkin boleh hadir dan bantah secara intelek semasa sesi soal-jawab,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menggesa agar Kerajaan Persekutuan menghalang Zakir dari menyampaikan ceramah kerana mendakwa penceramah itu mengamalkan aliran ASWAJA.
Dr Zakir Naik dijadual menyampaikan syarahan bertajuk ‘Is the Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 16 April akan datang.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) turut mengingatkan Hindraf supaya tidak mencampuri urusan umat Islam dan menuduh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, sebagai sesat.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA, Dr Amini Amir Abdullah, berkata Hindraf juga diingatkan supaya tidak membuat tuduhan membabi buta yang mengatakan ajaran Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
“PERKASA memberi amaran keras kepada Hindraf agar tidak menuduh Dr Zakir Naik sebagai ‘deviant foreign preacher’ (pendakwah luar yang sesat).
“Hindraf juga dinasihatkan agar tidak membuat tuduhan yang melulu dan membabi buta. Wahai Whyta! Tolong berhati-hati dalam membuat kenyataan yang menyentuh hal ehwal Islam dan umat Islam.
“Bila pula ajaran-ajaran Dr Zakir tidak selari dengan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Sejak bila Waytha pula menjadi ulama dan menghukum Dr Zakir dengan hukuman sedemikian?,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, malam tadi.
