ISMA bidas cadangan kahwin bawah umur PAS

ISMA bidas cadangan kahwin bawah umur PAS

Di Malaysia berkahwin pada umur minimum tidak begitu sesuai kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah.

Abdullah Zaik Abd Rahman

PETALING JAYA:
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tidak boleh menerima cadangan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh-PAS) supaya perkahwinan umur minimum 16 tahun atau ke bawah digalakkan.

Ketika dihubungi FMT, Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman menjelaskan meskipun perkahwinan umur minima dibenarkan oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, umur minimum 16 tahun bukan umur yang sesuai untuk berkahwin mengikut budaya masa kini.

“Tidak ada masalah dari sudut hukum, cuma dalam realiti negara kita, umur 16 tahun terlalu muda untuk pikul beban tanggungjawab rumah tangga dari sudut nafkah, pendidikan anak dan tanggungjawab sosial yang lain.

“Pada usia itu mereka juga tidak akan memiliki pekerjaan yang terjamin” katanya kepada FMT.

Undang-Undang Keluarga Islam meletakkan syarat umur minimum perkahwinan 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu, manakala undang-undang sivil menetapkan umur minimum 18 tahun untuk kedua jantina.

Isu perkahwinan pada atau bawah umur minimum kembali menjadi perbualan selepas Teo Nie Ching (Kulai-DAP) pada Selasa lalu membawa kes perkahwinan seorang gadis 13 tahun yang dikahwinkan dengan seorang lelaki 40 tahun di Sabah tahun lalu ke perhatian Dewan Rakyat.

Nik Mazian bingkas bangun dan mencadangkan perkahwinan pada umur minimum 16 tahun atau ke bawah untuk perempuan boleh mengelakkan hubungan seks luar nikah dan seks bebas oleh remaja yang ‘berkeinginan’.

Walau bagaimanapun cadangan segera dibantah Nie Ching, dengan menjelaskan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur merupakan jenayah rogol statutori, dan tidak sepatutnya dikambus dengan pernikahan.

Menjawab pertanyaan Nie Ching, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan sebanyak 827 permohonan perkahwinan bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik melahirkan rasa bimbang akan berlaku lebih banyak masalah sosio-ekonomi yang lain sekiranya cadangan PAS itu dibenarkan.

Oleh itu, dia mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan, tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya tidak terjebak dengan maksiat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.