Teksi vs Uber-Grab: Ku Nan hanya pandai bercakap

Teksi vs Uber-Grab: Ku Nan hanya pandai bercakap

Sebagai menteri Tengku Adnan tidak sepatutnya menambah api kemarahan pemandu teksi, sebaliknya memikirkan kaedah untuk menyelesaikan isu teksi dan Uber.

ridhuan,kunan

PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dibidas hanya pandai bercakap tetapi gagal membela nasib pemandu teksi yang terkesan dengan perkhidmatan kereta sapu, Uber dan Grab.

Bidasan itu dibuat, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah ekoran kenyataan Tengku Adnan kononnya kehadiran Uber dan Grab meningkatkan persaingan dalam industri pengangkutan awam.

Katanya, sebagai menteri Tengku Adnan tidak sepatutnya menambah lagi api kemarahan pemandu teksi, sebaliknya mencari jalan menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Tengku Adnan jangan buka mulutlah, main lepas cakap, dia kata pemandu teksi dan Uber perlu supaya wujud persaingan.

“Dia seolah-oleh menyalahkan teksi, bukannya menyelesaikan isu yang berlaku, saya rasa Tengku Adnan berhenti jadi pemimpin, jadi peniaga lagi elok,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa kegagalan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjalankan tugas antara punca Uber dan Grab bermaharajalela di ibu kota.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak SPAD seolah-olah takut bertindak terhadap Uber dan Grab sedangkan perkhidmatan tersebut telah membunuh pendapatan pemandu teksi sehingga memaksa mereka melakukan tunjuk perasaan.

“Saya menyalahkan SPAD kerana mereka seharusnya bertanggungjawab dalam soal ini.

“Dia mesti ada peraturan, saya pun hairan kenapa SPAD tak bertindak dengan apa yang berlaku, SPAD ini macam tidur sahaja, dia seakan takut ambil tindakan terhadap Uber,” katanya.

Bercakap kepada FMT, Nadzim berkata kehadiran Uber dan Grab menyebabkan industri pengangkutan awam menjadi tidak adil, kerana perkhidmatan kereta sapu tidak dikenakan sebarang cukai oleh pihak kerajaan berbanding teksi.

“Perkhimatan Uber ini perlu adil supaya ia tidak menjejaskan pemandu teksi. Uber kena ada permit, kena ada lesen, kena ada insuran,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan pemandu teksi tidak ditindas, Nadzim menyarankan supaya perkhidmatan kereta sapu perlu dijenamakan dan diletakkan di bawah satu syarikat yang diterajui pemegang saham.

“Uber ini juga perlu ada satu penjenamaan supaya orang tahu, sebagai contoh mereka kena ada identiti, tak kiralah dari segi pakaian, jenis kereta dan sebagainya.

“Apabila mereka ada identiti, keselamatan penumpang juga terjamin sekali gus membuatkan pemandu Uber itu sendiri bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.