Berucap merasmikan Sidang Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) ke-55, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, ini kerana papan tanda dan iklan yang menghiasi ruang awam turut memberikan citra kepada Malaysia.
“Kita harus sedar bahawa tanda nama perniagaan, iklan dan sebagainya merupakan salah satu unsur yang memberi citra kepada bangsa dan negara.
“Oleh itu, penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan tidak tercemar dengan pengaruh asing wajar ditekankan, agar dapat meningkatkan citra kebangsaan dan jati diri negara,” katanya, ketika membaca teks ucapan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Memetik laporan Utusan Malaysia pada 31 Januari lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2014 melaksanakan Kempen Sistem Penarafan Bintang melibatkan 149 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.
Namun, kempen tersebut tidak diperluaskan ke sektor swasta, terutama dalam soal papan tanda dan iklan.
Persidangan dua hari itu menemukan pakar bahasa dari ketiga-tiga negara dan Singapura sebagai pemerhati, untuk membincangkan isu-isu berkaitan Bahasa Melayu.
