Bahasa Melayu: Nadi merdeka yang belum sempurna

Bahasa Melayu: Nadi merdeka yang belum sempurna

Masalah bahasa bukan hanya soal komunikasi, tetapi juga soal sosial. Bila tiada bahasa bersama, mudah lahir prasangka, diskriminasi dan salah faham.

Saya masih ingat zaman kecil dahulu, ketika bersekolah rendah di sebuah kampung pinggir bandar. Ramai rakan-rakan pelbagai bangsa. Ada yang berbangsa Cina, ada yang berbangsa India. Mereka semua fasih berbahasa Melayu. Kami bercakap menggunakan bahasa yang sama di kelas, di kantin, ketika bermain bola. Tidak ada rasa asing, tidak ada tembok. Bahkan, mereka memahami budaya Melayu malah kadangkala petah menyelitkan peribahasa dan pantun dalam percakapan.

Kenangan itu menimbulkan rasa rindu akan suasana harmoni yang begitu tulen. Bahasa Melayu ketika itu benar-benar menjadi jambatan, bukan sekadar bahasa pengantar di sekolah tetapi juga bahasa yang mengikat hati kami sebagai kanak-kanak yang membesar di bumi merdeka.

Namun, apabila dewasa, saya sering terfikir: bagaimana selepas 68 tahun merdeka, masih ada warganegara Malaysia yang tidak dapat memahami bahasa kebangsaan? Sesekali kita terbaca laporan tentang perbicaraan yang tergendala kerana tertuduh tidak faham pertuduhan dalam bahasa Melayu. Ada juga kes kemalangan yang mendapat liputan meluas, tetapi perbicaraan terpaksa menggunakan bahasa lain kerana pihak yang didakwa tidak boleh berbahasa kebangsaan.

Isu ini bukanlah soal individu, tetapi gambaran jurang besar dalam sistem pendidikan dan masyarakat kita. Ia menimbulkan pertanyaan yang menyakitkan: apakah yang telah berlaku pada roh kebangsaan kita?

Bahasa ialah roh sesebuah bangsa. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Namun, selepas 68 tahun merdeka, bahasa ini masih belum benar-benar menjadi milik semua warganegara.

Kita tidak menafikan hak setiap kaum mengekalkan bahasa ibunda masing-masing. Namun, dalam konteks negara, bahasa kebangsaan seharusnya menjadi bahasa yang menyatukan. Lihatlah Jepun, mereka bangga dengan bahasa Jepun. Thailand tidak pernah berganjak dengan bahasa Thai. Indonesia malah berjaya menyatukan ratusan etnik melalui bahasa Indonesia. Tetapi di Malaysia, bahasa kebangsaan masih belum benar-benar dimartabatkan oleh semua.

Kita mudah lupa kemerdekaan bukan sahaja dicapai dengan perjuangan politik, tetapi juga melalui perjuangan bahasa. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1956 misalnya, meletakkan asas penting kepada kedudukan bahasa kebangsaan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan setahun sebelum merdeka diberi amanah besar: membina, membakukan dan memperkaya bahasa Melayu. Tokoh-tokoh bahasa, para sasterawan, ahli akademik — semuanya bekerja keras untuk memastikan bahasa kebangsaan berdiri megah. Tanpa bahasa, kemerdekaan hanya tinggal slogan.

Namun hari ini, roh perjuangan itu seakan semakin luntur. Generasi baharu lebih mesra dengan bahasa asing di media sosial, sementara sebahagian masyarakat masih ragu-ragu untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai teras komunikasi.

Sekolah mencantum, atau memisah?

Ini bukan masa untuk menuding sesiapa, tapi punca besar kepada masalah ini datang daripada sistem pendidikan. Murid-murid membesar dalam kelompok bahasa yang berasingan. Natijahnya, ada warganegara yang masih asing dengan bahasa kebangsaan walaupun telah lama tinggal di Malaysia. Sekolah kebangsaan sepatutnya menjadi medan penyatuan. Namun realitinya, sebahagian besar masyarakat memilih sistem pendidikan berasingan. Pertanyaan yang wajar kita lontarkan: bagaimana mungkin kita mahu membina bangsa Malaysia yang padu, jika sejak kecil lagi murid tidak dikumpulkan di bawah satu bumbung bahasa kebangsaan?

Lebih menyedihkan, bahasa Melayu sering diketepikan di sektor pekerjaan. Tidak sukar menemui iklan jawatan kosong yang meletakkan syarat ‘mesti fasih Mandarin’, seolah-olah bahasa kebangsaan tiada nilai dalam dunia kerja. Fenomena ini bukan sahaja mendiskriminasi warganegara lain, tetapi juga merendahkan martabat bahasa kebangsaan. Selepas 68 tahun merdeka, masih ada majikan yang tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi kerja. Jika keadaan ini dibiarkan, roh kemerdekaan kita akan semakin rapuh.

Masalah bahasa bukan hanya soal komunikasi, tetapi juga soal sosial. Bila tiada bahasa bersama, mudah lahir prasangka, diskriminasi dan salah faham. Bahasa yang berbeza sering kali menjadi tembok yang memisahkan. Bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi jambatan untuk saling memahami. Tanpa penguasaan bahasa yang sama, jurang itu akan terus melebar.

Bahasa jiwa bangsa, yang kian pudar

Ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ perlu kita hayati dengan sebenar-benarnya. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang maruah dan jati diri. Mengabaikan bahasa kebangsaan sama ertinya dengan mengabaikan roh kemerdekaan.

Dulu ketika kecil, saya melihat sendiri bagaimana rakan-rakan berbilang kaum fasih berbahasa Melayu. Ia menjadikan kami serasi, tanpa rasa asing. Kini, selepas 68 tahun merdeka, suasana itu semakin pudar. Malaysia mesti berani membuat pilihan tegas. Tidak cukup sekadar ucapan merdeka saban tahun, kita perlu pelan tindakan konkrit:

  • Pendidikan – Kementerian Pendidikan mesti memperkukuh pengajaran bahasa Melayu di semua jenis sekolah, dengan standard penguasaan minimum yang jelas untuk setiap murid.
  • Penguatkuasaan – Dewan Bahasa dan Pustaka perlu diberi kuasa lebih luas untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dalam semua dokumen rasmi, papan tanda, dan urusan kerajaan. Begitu juga pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya dilengkapkan dengan kuasa penguatkuasaan sewajarnya.
  • Dunia kerja – Dasar pengambilan pekerja yang menolak bahasa kebangsaan perlu disemak semula. Bahasa Melayu mesti diiktiraf sebagai syarat pekerjaan, selari dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.
  • Masyarakat – Setiap warganegara mesti mengambil tanggungjawab mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu, sekurang-kurangnya untuk berkomunikasi sesama rakyat.
  • Media dan budaya – Sektor kreatif perlu memperbanyakkan karya, drama, filem dan bahan media dalam bahasa Melayu yang berkualiti, agar bahasa ini kekal segar dan relevan di hati rakyat.

Kita sudah merdeka 68 tahun. Namun, kemerdekaan bukan hanya tentang politik dan pentadbiran, tetapi tentang jiwa bangsa. Selagi bahasa kebangsaan tidak difahami dan dihormati, selagi itulah kemerdekaan kita belum sempurna. Bahasa Melayu mesti kembali menjadi nadi penyatuan, bukan sekadar hiasan dalam teks Perlembagaan. Inilah roh kebangsaan yang wajib kita hidupkan bersama — agar merdeka ini benar-benar merdeka, lahir dan batin.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah seorang karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.