Guling MB Johor: Anak Speaker dicabar tunjuk bukti

Guling MB Johor: Anak Speaker dicabar tunjuk bukti

Shukur Mohamad sengaja mereka-reka cerita kerana terdesak untuk meraih populariti sekiranya dia gagal menunjukkan bukti terhadap dakwaan itu.

Ahli-UMNO,-Syukur-Mohamad

PETALING JAYA:
Ahli UMNO, Shukur Mohamad dicabar supaya menunjukkan bukti terhadap dakwaan wujudnya gerakan mengulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kononnya diketuai kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap berkata, beliau percaya Shukur yang juga anak kepada Speaker Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, hanya mereka-reka dakwaan itu kerana terdesak untuk meraih populariti.

“Saya melihat ini cara memprovokasi kekuatan UMNO di Johor dan mereka cuba memecahbelahkan keharmonian dan permuafakatan yang dibina dengan cubaan melaga-lagakan kepimpinan kami.

“Saya melihat ini adalah usaha terdesak daripada mereka dan kalau benar ada bukti seperti yang dinyatakan (gerakan menjatuhkan Menteri Besar), mereka boleh keluarkan dan kita semua boleh menilai adakah ia benar-benar fakta atau sekadar nak meraih populariti sahaja,” katanya kepada FMT.

Shukur sebelum itu mendakwa wujudnya gerakan untuk menjatuhkan Mohamed Khaled oleh kumpulan penyokong Presiden UMNO diketuai oleh seorang timbalan menteri .

Timbalan menteri itu dikatakan kononnya akan menjadi Menteri Besar baharu sekiranya gerakan itu berjaya.

Dia mendakwa bukti dan sedia diheret ke mahkamah atau Lembaga Disiplin jika dakwaan itu tidak benar.

Shukur juga mendakwa timbalan menteri itu membuat tawaran RM1 juta kepada mana-mana individu yang berjaya mendapat sokongan 20 cawangan UMNO Pagoh untuk menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua UMNO Bahagian.

“Saya tak pernah dengar malah tidak mengetahui wujudnya elemen seperti ini berlaku, Ada juga berbuat dengan timbalan-timbalan menteri yang asal daripada Johor, namun tak pernah timbul atau sentuh berkaitan perkara ini,” tambah Anuar.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau terkejut dengan dakwaan tersebut memandangkan Mohamed Khaled penyokong kuat Najib.

Katanya, beliau tidak pernah mendengar rungutan tidak puas hati pemimpin UMNO terhadap kepimpinan Menteri Besar seperti yang berlaku di Kedah ketika pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya adalah ahli dalam Majlis Mesyuarat Badan Perhubungan Johor, di mana saya Ketua UMNO Bahagian Pengerang, tiada pula dalam mesyuarat itu berlaku macam tak puas hati dengan kepimpinan Pengerusi Perhubungan (Mohamed Khaled)

“Saya juga melihat beliau (Menteri Besar) sentiasa memberi sokongan kepada Presiden parti,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.