Letupan di Restoran Chili’s gegarkan Mid Valley

Letupan di Restoran Chili’s gegarkan Mid Valley

Tiada kematian dilaporkan dalam letupan kecil itu

mid-valley

PETALING JAYA:
Lapan orang cedera dalam satu letupan kecil yang berlaku di Restoran Chili’s di Pusat Beli-belah Mid Valley, pagi ini.

Berita mengenai letupan itu mula tersebar di Twitter kira-kira jam 10.30 pagi tadi, dengan beberapa keping gambar menunjukkan kerosakan yang berlaku di restoran itu dimuat naik pengguna laman sosial.

Pihak pengurusan Pusat Beli-belah Mid Valley dalam satu kenyataan media yang dimuat naik ke laman sosial Facebooknya hari ini mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Letupan kecil itu berlaku ketika kerja-kerja pemulihan sistem Gas Petroleum Cecair (LPG) dijalankan selepas selesainya kerja-kerja penyelenggaraan.

Tiada kematian dilaporkan, tetapi lapan pekerja penyelenggaraan, kontraktor LPG dan pekerja di dua restoran terbabit mengalami kecederaan ringan.

Menurut kenyataan itu lagi, semua sistem gas di pusat beli-belah itu telah ditutup sehingga diberitahu kelak, namun pusat beli-belah itu akan terus dibuka kepada pengunjung.

Tegasnya, keselamatan kekal sebagai keutamaan mereka dan pusat beli-belah itu akan menumpukan perhatian terhadap kesejahteraan penyewa serta pengunjung.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dipetik Malay Mail Online berkata, laporan awal menunjukkan bahagian siling di luar restoran itu runtuh dan mencederakan lapan orang.

“Siasatan masih dijalankan bagi menentukan jika runtuhan siling itu berpunca daripada letupan silinder gas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.