Akses terhadap pengadilan hak asasi semua warga – YBGK

Akses terhadap pengadilan hak asasi semua warga – YBGK

Sebelum penubuhan YBGK, 80 peratus yang dibicarakan atas tuduhan jenayah di mahkamah tidak diwakili peguam kerana mereka tidak mampu.

Ravi-Nekoo

KUALA LUMPUR:
Nasib malang yang menimpa S Sellamah, 36, yang dipenjara sehari dan didenda RM200 – atau lima hari penjara jika gagal membayar denda – mungkin tidak akan berlaku jika dia diwakili peguam.

“Hukuman itu agak berat. Perkara itu mungkin boleh dielakkan jika dia diwakili peguam. Walaupun mahkamah menjatuhkan hukuman sedemikian, rayuan boleh dibuat.

“Yang penting dia diwakili peguam di mahkamah. Peguam dapat memberikan hujah perundangan dan apa yang (dia) terima sejajar dengan undang-undang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ravi Nekoo menerusi wawancara bersama FMT semalam.

Beliau mengakui kes Sellamah hanyalah satu daripada banyak kes yang berlaku dan tidak mendapat perhatian media ekoran puncanya disebabkan tertuduh tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.

“Ia bukan soal caj guaman mahal atau tidak, tetapi (tertuduh) tiada wang untuk mendapatkannya,” katanya sambil memetik jawapan Parlimen pada tahun 2009, bahawa 84376 daripada 108528 yang dibicarakan atas tuduhan jenayah mahkamah majistret tidak diwakili peguam.

“Mereka terpaksa mewakili diri sendiri, atau mengaku salah sahaja. Bagaimana mereka mampu lalui keseluruhan proses perbicaraan secara sendirian?” soalnya.

Penubuhan YBGK

Atas prinsip akses terhadap pengadilan adalah hak asasi setiap warga, YBGK ditubuhkan untuk memberi khidmat guaman percuma dalam kes jenayah sivil dan syariah bagi mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, berbekalkan perangkaan itu, Presiden Majlis Peguam pada ketika itu, K Raghunath berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bersetuju menubuhkan sebuah badan bantuan guaman yang diberikan dana oleh kerajaan.

“Sebelum itu, selama 30 tahun Majlis Peguam menguruskan program bantuan guamannya sendiri yang didanai yuran RM100 setahun oleh setiap peguam. Tetapi tentulah jumlah itu tidak mencukupi,” katanya sambil memaklumkan usaha mendapatkan bantuan swasta juga tidak berjaya.

“Kebanyakan yang kami temui merasakan membela (suspek) penjenayah tidak termasuk dalam tanggungjawab sosial korporat mereka. Kami juga tidak boleh bergantung kepada sumbangan ‘adhoc’ semata,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Guaman Kebangsaan Majlis Peguam itu.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2012, YBGK mendapat peruntukan sejumlah RM5 juta pada tahun itu, RM10 juta (2013), dan RM20 juta (2014). Namun, baru RM5 juta daripada keseluruhan peruntukan 2014 yang diserahkan setakat hari ini.

Jumlah individu yang mendapatkan bantuan guaman pula kian meningkat tahun demi tahun.
Menurutnya, YBGK mewakili 50,000 individu pada tahun 2012, 90,000 (2013), 160,000 (2014) dan 230,000 (2015).

“Orang ramai mula kenal YBGK dan peranan kami, namun, masih belum memadai. Justeru, kami melakukan pelbagai cara seperti meletakkan poster dan risalah di mahkamah, selain bercadang untuk meletakkan ‘booth’ kami sendiri di mahkamah.

“YBGK juga sedang berkerjasama dengan pihak mahkamah untuk mewujudkan sistem di mana majistret sendiri akan mengarahkan tertuduh datang kepada kami, jika dia masih tiada peguam,” ujarnya.

Piawaian tetap terjaga

Ravi menekankan, walaupun khidmat guaman diberikan secara percuma, YBGK tetap memberikan perkhidmatan yang baik dan menjaga standard peguam yang bergiat di bawahnya.

“Peguam yang ingin bergiat wajib menjalani progam latihan dan penilaian. Ini bertujuan menanam falsafah bantuan guaman kepada mereka. Namun, bagi peguam yang berpengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun atau mengendalikan tiga kes jenayah, mereka tidak perlu menjalaninya,” katanya.

YBGK menawarkan khidmat guaman percuma kepada seluruh warga Malaysia dan bukan warga yang berusia 18 tahun ke bawah.

Khidmat percuma diberikan kepada semua untuk peringkat penahanan, reman, permohonan ikat jamin dan mitigasi.
Namun, bagi proses perbicaraan, tahap kemampuan diambil kira bagi melayakkan sesiapa untuk mendapat khidmat YBGK.

“Kebanyakan yang menjadi sukarelawan YBGK adalah peguam muda yang penuh semangat dan merupakan masa depan Majlis Peguam.

“Kami ingin memberikan akses kepada pengadilan, atas asas ia adalah hak asasi dan dijamin Perlembagaan.YBGK memberi makna kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang yang ditangkap dibenarkan berunding dan dibela oleh peguam pilihannya,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.