Pengarah Eksekutif Jabatan Kawal Selia Air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Marzuki Mohammad berkata pengeluaran dan penggunaan air pada masa ini masih di tahap tidak membimbangkan selain tiada keperluan untuk catuan air dilaksanakan.
“SPAN belum terima sebarang permohonan daripada operator air untuk tindakan catuan air, namun sekarang ini kami sentiasa bekerjasama dengan mereka bagi memantau paras empangan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya SPAN akan memberi kebenaran bagi catuan air sekiranya ia diperlukan kelak.
Sementara itu, di Selangor, tujuh empangan dan satu kolam takungan di negeri itu dilaporkan berada pada tahap yang konsisten dan tidak membimbangkan setakat 8 pagi ini.
Menurut statistik laman web rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), empangan Langat mencatatkan kadar 69.37 peratus atau 23.65 juta liter padu air, manakala Sungai Selangor sebanyak 78.17 peratus (179.8 juta liter padu).
Empangan Batu pula mencatat bacaan 77.42 peratus (24.74 juta liter padu); Klang Gates (73.54 peratus atau 18.63 juta liter padu) dan Semenyih (79.74 peratus atau 47.10 juta liter padu).
Sungai Tinggi (83.14 peratus atau 95.20 juta liter padu); Tasik Subang (94.28 peratus atau 3.96 juta liter padu) dan Kolam Takungan Sungai Labu (54.99 peratus atau 4.53 juta liter padu air).
Di Melaka, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Khalid Nasir berkata paras air empangan Durian Tunggal, Alor Gajah berada pada paras amaran iaitu 60 peratus, manakala di Empangan Asahan, Jasin (98 peratus) dan Empangan Jus, Jasin (76 peratus).
“Empangan Durian Tunggal berada di paras amaran ekoran tidak menerima hujan sejak 30 hari lepas, namun tidak berada pada paras kritikal dan masih boleh bertahan,” katanya.
Mohd Khalid berkata bagi memastikan bekalan air sentiasa ada dan tiada catuan air, SAMB juga telah mengepam 35 juta gelen air sehari dari Sungai Muar, Johor.
Di Kelantan pula, empangan Bukit Kwong di Pasir Mas menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus pada minggu ini kepada 12.9 meter berbanding 13.9 meter pada pertengahan Mac lepas.
Jurucakap Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Mas berkata walaupun terdapat sedikit hujan pada minggu lepas, ia tidak memberi penambahan pada paras air empangan itu.
Di Sabah, Timbalan Pengarah Jabatan Air negeri Teo Chee Kong berkata paras air Empangan Babagon yang membekalkan air bagi kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan masih berada dalam keadaan normal.
Bagaimanapun, di Tawau, Jurutera Jabatan Air Tawau Bahrin Antonis berkata dua daripada tiga loji rawatan airnya iaitu Loji Rawatan Air Jalan Utara dan Loji Rawatan Air Cinta Mata berada pada tahap kritikal selepas masing-masing mengalami kemerosotan sebanyak 20 dan 60 peratus.
“Buat masa ini, Jabatan Air Tawau menghantar bekalan air menggunakan beberapa lori tangki di kawasan pinggir bandar dan luar bandar…penduduk diminta bersabar menghadapi situasi kemarau sekarang,” katanya.
Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata paras air di beberapa empangan utama di negeri itu belum mencecah tahap kritikal. Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin pula berkata berdasarkan pemantauan harian ke atas 44 Loji Rawatan Air (LRA) seluruh negeri, hanya pengeluaran air terawat dari LRA Taiping Headworks yang terjejas setakat ini.
“Jumlah pengeluaran dari LRA Taiping Headworks sehingga semalam adalah 20 juta liter sehari (JLH), turun 43 peratus daripada pengeluaran normal sebanyak 35 JLH, namun kekurangan bekalan itu dapat ditampung oleh bekalan air terawat dari LRA Gunung Semanggol dan LRA Air Terjun,” katanya.
Di Pahang, Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak berkata air Empangan Chereh, Sungai Lembing yang membekalkan air di sekitar Kuantan berada pada paras normal 71.5 meter dengan kapasiti takungan penuh 260 juta mililiter padu.
Bagi lain-lain daerah di Pahang katanya, sumber air adalah dari sungai yang dipam ke loji-loji utama.
Katanya berdasarkan keadaan terkini hanya Sungai Jelai, Lipis dan Sungai Lepar, Kuantan mengalami penyusutan ketara manakala bagi lain-lain daerah paras air sungai berada pada paras normal.
Di Kedah, paras air di tiga empangan iaitu Empangan Pedu, Empangan Beris dan Empangan Ahning masih mencukupi dan berada di paras selamat, kata Timbalan Pengurus Besar Teknikal Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Datuk Ir Hok Tek Lip.
Beliau berkata paras takungan air di Empangan Pedu berada pada tahap 80.83 peratus, Empangan Muda (51.40 peratus) dan Empangan Ahning (78.96 peratus).
Di Pulau Pinang, laman sesawang rasmi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini menunjukkan paras air di Empangan Air Itam berada pada tahap 64.1 peratus berbanding 75.7 peratus pada bulan lepas.
Bagi Empangan Teluk Bahang pula paras air mencatatkan bacaan 66.3 peratus berbanding 72.3 peratus pada bulan lepas.
Di Negeri Sembilan, paras air di enam empangan berada pada keadaan baik kecuali Empangan Gemencheh.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagi meningkatkan paras air di Empangan Gemencheh, sebuah rumah pam di Sungai Jelai telah dibina bagi tujuan mengepam air masuk ke empangan itu.
Di Labuan, paras air di dua empangan turun 25 peratus, namun masih belum di tahap membimbangkan.
Jabatan Bekalan Air Labuan mengesahkan bacaan paras air di Empangan Kampung Bukit Kuda kini pada paras 13.74 meter dan Empangan Sungai Pagar pada paras 16.15 meter dengan masing-masing berada di atas paras kritikal iaitu 10.18 meter dan 11.89 meter.
– BERNAMA
