Lima pemandu teksi ditahan di Jalan Bukit Bintang pagi Selasa susulan tunjuk perasaan membantah keberadaan kereta sapu, Uber dan GrabCar.
Kira-kira 100 teksi bersusun di sepanjang jalan utama itu hingga menyebabkan laluan trafik terpaksa dialihkan.
“SPAD telah menerima laporan berkaitan demonstrasi oleh pemandu teksi di sekitar kawasan Bukit Bintang yang mahukan aplikasi Uber dan GrabCar diharamkan.
“SPAD sehubungan itu ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM di atas tindakan pantas dan kerjasama yang diberikan bagi mengawal keadaan serta mengurangkan kesulitan yang dialami oleh orang awam,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.
Seorang daripada yang ditahan berumur sekitar 50an. Dua teksi turut disita polis dalam kejadian itu.
Menurut seorang pemandu yang ditahan, mereka dilayan dengan baik semasa di dalam lokap.
Susulan kejadian itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu SPAD mempercepatkan pendaftaran perkhidmatan Uber dan GrabCar di bawahnya supaya pemandu kereta sapu diwajibkan memiliki lesen kenderaan awam, dan membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), sepertimana pemandu teksi.
Dalam kenyataannya, SPAD mengesahkan bahawa kenderaan yang digunakan aplikasi Uber dan GrabCar tidak punyai lesen sah yang sah daripadanya dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).
“Suruhanjaya sedang mengambil langkah bagi memastikan aplikasi seperti Uber dan GrabCar dapat dikawal selia di bawah undang-undang dan tidak mengugat industri teksi yang sedia ada.
“Namun begitu, usaha tersebut memerlukan masa,” menurut SPAD.
Tambahnya, SPAD juga sedang berusaha mendapatkan penyelesaian yang sesuai bagi meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dengan penyelarasan sistem pajak yang digunakan oleh pengendali teksi.
Dalam pada itu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan industri teksi dan pihak berkepentingan supaya inovasi digalakkan dan persaingan ditingkatkan dalam industri teksi.
