Turunkan UMNO bukan Najib seorang, pesan PAS pada Husam

Turunkan UMNO bukan Najib seorang, pesan PAS pada Husam

Ia tidak mempunyai makna sekiranya pertukaran Perdana Menteri datang daripada sistem yang sama.

Datuk Husam Musa

SHAH ALAM:
PAS hairan dengan gesaan bekas naib presiden mereka yang mahu parti itu menyatakan pendirian untuk bersama muafakat Selamatkan Malaysia dan menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi berkata pendirian PAS berhubung perkara itu sudah jelas: PAS mahu menurunkan UMNO daripada tampuk kekuasaan, dan penukaran Najib tidak selaras dengan matlamat itu.

“Soalnya bukan soal siapa, tetapi UMNO dan sistemnya,” kata Sallehin; “tidak ada makna pertukaran dalam keadaan sistem yang sama. Lebih baik perubahan itu melalui pilihan raya.”

“Dahulu orang tak puas hati dengan Dr Mahathir, kemudian beliau turun. Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib. Jika yang naik sekalipun Mukhriz dan masih BN, jadi apakah maknanya?” soal ketika ditemui pemberita di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Semalam, Datuk Husam Musa menggesa PAS agar segera membuat keputusan untuk bersama mereka menumbangkan Najib, di ceramah Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia, Pandan Jaya, malam tadi.

Ceramah itu hanya dihadiri kira-kira 1,000 orang sahaja, walaupun menampilkan watak-watak penting gerakan Selamatkan Malaysia termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Sallehin berkata kehadiran Husam semasa Kongres Rakyat 2016 kelmarin walaupun dilarang oleh parti juga akan dibincangkan oleh parti itu.

“Sekarang sedang dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Disiplin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.