Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pemerintah mengambil berat tindakan mereka yang tidak mengendahkan kerahsiaan dokumen kerajaan dan sesuka hati menyebarkan maklumat rahsia.
“Sebab itulah kerajaan nak pinda akta OSA supaya mereka dipertanggungjawabkan dengan maklumat yang diklasifikasikan sebagai OSA, benar-benar faham. Ia juga supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka (individu yang tidak bertanggungjawab) dengan lebih berat.
“Ini memandangkan mereka juga mempunyai perangai endah tak endah dan sesuka hati menyebarkan maklumat (yang tertakluk) di bawah OSA. Itu sebabnya kerajaan bercadang meminda akta OSA,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen daripada Laporan Ketua Audit Negara keatas 1MDB yang dirahsiakan dibawah OSA. Dokumen itu dikatakan menunjukkan kaitan antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sementara itu, 1MDB meminta pihak berkuasa dan Parlimen supaya menyiasat Rafizi yang didakwa berkongsi dokumen yang dirahsikan dibawa OSA.