Felo Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata jaminan wujudnya kebebasan beragama untuk penganut bukan Islam sebenarnya adalah sebahagian prinsip Islam.
“Dakwaan bahawa kepercayaan dan amalan penganut agama lain terjejas apabila Indeks Syariah Malaysia dijadikan panduan pentadbiran negara amat tersasar daripada kebenaran.
“Islam mengiktiraf kebebasan beragama iaitu meliputi hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Islam tidak membenarkan paksaan dalam beragama,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan skor sebanyak 75.42% bagi Indeks Syariah Malaysia tahun 2015.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, Indeks Syariah Malaysia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Indeks Syariah yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) tidak mencampuri bidang kuasa Raja-raja selaku Ketua Agama Islam pada peringkat Persekutuan dan negeri.
“Dakwaan itu tersasar kerana JAKIM diperkenan penubuhannya oleh Majlis Raja-raja sejak tahun 1968 dengan nama asalnya Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Bahkan jika dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan, Kerajaan Malaysia seluruhnya wajar menjadikan Islam sebagai rujukan terpenting pentadbiran negara,” katanya.