DLP merenggang masyarakat, bersifat perkauman dan rasis

DLP merenggang masyarakat, bersifat perkauman dan rasis

Dasar DLP memang akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi merosakkan bahasa lain termasuk bahasa Malaysia.

Abdul-Raof-Hussin

KUALA LUMPUR:
Tindakan Kerajaan Persekutuan mewujudkan program dwi-bahasa (DLP) akan hanya merenggangkan masyarakat di samping bersifat perkauman dan rasis.

Bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata demikian selain mempersoal Kerajaan Persekutuan yang mengamalkan dasar tersebut di sekolah kebangsaan dan bukan di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

“Terus terang saya kata, ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Demonstrasi Bantah DLP, di hadapan LRT Masjid Jamek, hari ini.

Abdul Raof yang kini Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia turut menambah, dasar DLP sememangnya akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi merosakkan bahasa lain termasuk bahasa Malaysia.

“Sebelum ini kita mahu memartabatkan bahasa Melayu, mempertingkatkan bahasa Inggeris dalam Pelan Rancangan Pendidikan Malaysia.

“Dengan wujudnya DLP, ia akan menjadi terbalik. Ini kerana kita akan meningkatkan bahasa Inggeris, tetapi melingkupkan subjek lain. Kalau begitu, kita memartabatkan bahasa Inggeris sahaja dan memperlekehkan bahasa Melayu,” sindirnya lagi.

Menegaskan niatnya hanya untuk membantah DLP dan bukan Kerajaan Persekutuan, beliau juga akui tidak menolak sepenuhnya bahasa Inggeris.

“Kalau ada yang kata DLP tidak melibatkan atau merugikan bahasa Melayu, ia tidak betul. Kami sedih, kesian dengan ibu bapa. Jangan jadikan petaka berganda yang disebut seolah-olah baik, tetapi sebenarnya tidak,” jelasnya.

baha2

Dalam pada itu, Sasterawan Negara, Baharuddin Zainal (Baha Zain) juga kesal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mengadakan sebarang pertemuan dengan kumpulan berkenaan.

“Tolng sampaikan salam kepada perdana menteri dan Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid. Kenapa tidak berani jumpa kami kalau yakin semua itu untuk kepentingan rakyat?” soalnya.

Baha Zain telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-12 pada 2013 dan pengumuman anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Karya-karya puisinya telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Inggeris, Korea, Jerman, Russia, Mandarin dan bahasa Sepanyol.

Tian-dlp

Perhimpunan bantah DLP itu turut dihadiri beberapa aktivis dan ahli politik antaranya Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Idris Ahmad.

Demonstrasi yang bermula pada jam dua petang itu berakhir dengan aman pada jam empat petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.