Jangan kaitkan KJ dengan penyelewengan dana RM100 juta- Syed Ali

Jangan kaitkan KJ dengan penyelewengan dana RM100 juta- Syed Ali

Malah, Syed Ali juga mendedahkan tidak wajar jika Khairy dipersalahkan memandangkan isu penyelewengan dana kementerian berkenaan didakwa berlaku sekitar tahun 2008.

PETALING JAYA:
“Jangan kaitkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam isu penyelewengan dana RM100 juta di kementerian berkenaan.”

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabsee dalam catatan terbaharu blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya semalam.

Dalam catatan itu, Syed Ali menyifatkan andaian melulu sesetengah pihak terhadap Khairy berhubung penahanan pegawai kanan kementerian tersebut yang disyaki menyeleweng dana mencecah RM100 juta sebagai tidak berasas.

“Ada pihak tuding jari kepada Khairy, desak beliau letak jawatan, kes tersebut tak ada kena mengena dengan menteri berkenaan,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan ia sebagai cubaan sesetengah pihak ‘menangguk di air keruh’ semata-mata untuk merosakkan nama baik Khairy.

Justeru, beliau menggesa menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, Syed Ali juga mendedahkan tidak wajar jika Khairy dipersalahkan memandangkan isu penyelewengan dana kementerian berkenaan didakwa berlaku sekitar tahun 2008.

“Dalam hal ini, mengapa pula Khairy yang dijadikan sasaran sesetengah pihak, saya rasa tidak adil dan berniat jahat,” katanya.

Walaupun Khairy katanya perlu bertanggungjawab selaku menteri namun Syed Ali berpendapat ia bukan bermakna meletakkan kesalahan tersebut di atas bahu beliau.

“Saya percaya Khairy adalah pemimpin yang berpegang kepada prinsip dan intergriti, beliau pastinya tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak,” tegasnya.

Kelmarin, Khairy menegaskan beliau tidak akan berselindung dengan pelbagai alasan bersabit isu tersebut.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian dan lapan orang yang merupakan koktraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.