1MDB dalam satu kenyataan mengulas laporan media semalam berhubung kenyataan tertentu oleh Gabenor Bank Negara berkaitan syarikat terbabit.
“Namun, sepanjang 12 bulan ini, kami telah memberikan kerjasama sebaik mungkin terhadap siasatan Bank Negara, termasuk memberikan bukti dokumen yang boleh diberikan.
“1MDB komited untuk terus bekerjasama dengan BNM dan akan terus memberikan maklumat yang kami ada kepada BNM, selagi ia dibolehkan di bawah undang-undang,” kata kenyataan itu.
Dalam sidang media semalam, Zeti berkata, BNM akan mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti dokumen yang ia menggunakan USD1.83 bilion, yang diarahkan BNM agar dikembalikan ke Malaysia, untuk pengurusan hutang luar dan penstrukturan semula syarikat.
Dalam pada itu, syarikat milik Kementerian Kewangan itu juga memaklumkan telah melengkapkan penjualan aset miliknya dalam Edra Global Energy Bhd kepada syarikat China, CGN Group.
“Kami yakin perkembangan signifikan ini yang berkaitan pengurangan hutang syarikat tidak akan dibayangi oleh komen yang dikaitkan dengan Gabenor.
“1MDB kekal fokus terhadap pelan rasionalisasinya, dan faedah positif seperti yang disebut agensi rating Moody’s hari ini (semalam). Kejayaan ini dapat dicapai walaupun terdapat usaha untuk mencetuskan berita-berita negatif di tengah-tengah perkembangan positif ini,” kata 1MDB lagi.
