Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Aziah Mohd Awal berkata, ia bagi mengelak Majlis Peguam dilihat berpihak, seterusnya membawa risiko konflik kepentingan.
“Majlis Peguam adalah badan yang memberikan lesen kepada mereka yang ingin jadi undang-undang. Jadi mereka perlu jaga integriti.
“Anak-anak kita yang ingin menjadi peguam perlu mendapat lesen dari Majlis Peguam. Malah mereka yang sudah menjadi peguambela atau peguam cara juga perlu lesen dari mereka untuk menandatangani surat misalnya.
“Apabila Majlis Peguam membuat penilaian tertentu (dalam memberi kelulusan), bagi saya ia tidak boleh masuk campur dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal-jawab dalam forum bertajuk ‘Keganasan Persepsi Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah’ di UKM hari ini.
Sehubungan itu, Noor Aziah menyarankan agar peguam yang tetap ingin ‘masuk campur’ dalam soal politik agar keluar dari badan tersebut.
“Mereka yang nak terlibat dalam politik, komen isu, keluar dan buat parti sendiri,” kata pensyarah undang-undang itu lagi.
Baru-baru ini, Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru menolak dakwaan badan itu menyebelahi pihak tertentu dalam arena politik negara.
Steven berkata demikian selepas badan itu meluluskan usul menyeru Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali meletak jawatan ekoran tindakan beliau membersihkan Najib daripada salahlaku dalam kes SRC, 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion.
Bagi Steven, “keprihatinan kami adalah pada kedaulatan undang-undang dan melaksana keadilan dan bukan mengenai politik”.
Sementara itu, mengulas soal badan kehakiman yang dilihat tidak bebas, Noor Aziah berkata persepsi terbentuk ketika krisis Perlembagaan 1988.
Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 merupakan satu siri peristiwa yang dicetuskan oleh pemilihan UMNO pada tahun 1987 yang berakhir dengan penggantungan dan kemudiannya penyingkiran Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Salleh Abas dari jawatannya yang dijamin tidak boleh dipecat oleh Perlembagaan Malaysia.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri mengemukakan beberapa pindaan perlembagaan kepada Parlimen untuk melucutkan “kuasa kehakiman Persekutuan” dan hanya memberikan mereka kuasa kehakiman sebagaimana yang Parlimen inginkan.
“Namun sekarang sudah ada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” kata Noor Aziah. “Perdana Menteri hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong selepas suruhanjaya mengemukakan cadangan.”
“Ini bermakna hakim tidak boleh dilantik begitu sahaja, ada integritinya. Inilah yang perlu diterangkan,” katanya lagi.
