Taman Manggis: Penukaran guna tanah ‘luar biasa dan mengejutkan’

Taman Manggis: Penukaran guna tanah ‘luar biasa dan mengejutkan’

Naib Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong mendakwa terdapat unsur-unsur penipuan dalam urusniaga tanah Taman Manggis.

H’ng Khoon Leng

PETALING JAYA:
Naib Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong, H’ng Khoon Leng mahu kerajaan Pulau Pinang menjelaskan mengapa 1.1 ekar plot tanah di Taman Manggis ditukar daripada kemudahan rawatan kepada hotel dan kamar servis (serviced suites).

Terletak di simpang Jalan Burma dan Jalan Zainal Abidin di George Town, 70 peratus daripada tanah Taman Manggis kini akan didirikan sebuah hotel dan kamar-kamar servis, manakala sebuah kemudahan rawatan akan didirikan diatas baki 30 peratus tanah itu.

Beliau berkata penggunaan tanah itu berubah selepas ia dijualkan kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Sdn Bhd secara tender terbuka pada 2011.

“Langkah ini akan memberi kelebihan komersial kepada syarikat itu kerana tanah itu kini boleh dinilaikan lebih tinggi,” kata H’ng kepada pemberita selepas beliau dan beberapa pimpinan BN membuat laporan polis berhubung perkara itu di ibu pejabat polis bandar George Town.

Beliau berkata nilai tanah itu akan naik dengan membenarkan pemilik membina sebuah hotel diatas tapak itu, dan menambah penukaran guna tanah itu “luar biasa dan mengejutkan”.

“Seolah-olah selepas kamu menang membida sebuah Proton Saga, kamu tukarnya kepada Mercedes-Benz. Adakah ini adil kepada rakyat Pulau Pinang?” soalnya.

Beliau berkata urusniaga tanah itu telah menipu (shortchange) rakyat Pulau Pinang, terutamnya golongan miskin bandar, yang dinafikan rumah kos rendah di dalam bandar.

Dalam laporan mereka, H’ng dan beberapa yang lain mendakwa terdapat unsur-unsur penipuan dalam urusniaga Taman Manggis dan mengesa polis menyiasat perkara itu.

Bersama laporan itu H’ng melampirkan surat yang ditujukan kepada pemilik daripada Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut bertarikh 7 Dis 2011 berkenaan penukaran guna tanah itu.

Pada asalnya, Taman Manggis bertujuan untuk membina rumah kos rendah dan fasa pertama projek itu siap dibina pada 2005.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mendakwa baki tanah 0.4 hektar itu terlalu kecil untuk pembinaan unit kos rendah, dan menjualnya kepada KLIDC.

KLIDC membeli plot itu pada harga RM232 setiap kaki persegi atau RM11.5 juta pada ketika itu walaupun BN sedia membeli lot itu pada harga RM22.4 juta untuk membina rumah kos rendah untuk golongan miskin bandar.

“Syarikat KL itu mendapat tanah itu walaupun mereka menawarkan RM10 juta lebih rendah daripada harga yang ditawarkan BN,” kata H’ng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.