Tayangan filem itu yang kini sudah masuk hari ke-26 terus mendapat sambutan sekaligus berjaya mengatasi dua filem yang menjadi persaingannya sebelum ini.
Selain itu, dalam tempoh tersebut filem berkenaan telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM17 juta.
Perkara itu dimaklumkan oleh Syamsul menerusi status terbaru di Facebooknya hari ini.
“Dengan izin Allah,filem kerdilku, Munafik telah pecah record perfileman Malaysia/Singapore/Brunei..Alhamdulillah. Masih hangat di pawagam sekarang. Ada lagi 2 minggu di pawagam.
“Akhirnya termakbul doa..jauh disudut hati ingin sekali aku melihat filem Islamik Dakwah dilihat sebagai antara filem berjaya di Malaysia,” tulisnya yang merupakan anak pengarah terkenal, Yusof Haslam.
Menurut Syamsul, filem arahannya itu berjaya menandingi filem Polis Evo dan Ola Bola yang baru sahaja ditayangkan awal tahun ini.
Dalam pada itu, Syamsul turut berpesan kepada semua agar tidak sesekali merasa was-was dengan kuasa Allah dan memohon doa kepadanya dan sentiasa menangis.
“Yakinlah dengan doa hamba pada Tuhan di mana sahaja terutamanya di bumi penuh barakah dilimpahi rahmat ini. Mekah di hadapan Kaabah juga Raudah Madinah.
“Moga kejayaan ini membuatkan hati kita semua semakin kuat iman,taqwa dan jagalah hubungan dengan Tuhan. Moga Allah Redha dengan kejayaan ini. Takbir!” tulisnya.
