ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon berkata perkara yang memerlukan perhatian mendesak adalah pemberhentian pekerja dan penggangguran, kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai Ringgit serta rasuah yang berleluasa.
Namun, pemimpin muda PKR itu mendakwa, kerajaan lembam menangani perkara tersebut; malah mengambil langkah yang tidak membantu rakyat seperti pengambilan pekerja warga asing untuk mengisi keperluan pasaran.
“Ini bukan masalah individu sahaja, tetapi adalah kelemahan sistem kerajaan yang tidak dapat mempertahankan maruah rakyat dan hak asasi kehidupan mereka.
“Perdana Menteri gagal dalam mengkaji semula jaringan keselamatan sosial yang sedia ada, malah memotong peruntukan untuk kebajikan rakyat serta keberkesanan perlaksanaan Bantuan Am yang membantu keluarga miskin untuk melalui cabaran hidup,” tegas Khai Loon dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Baru-baru ini, seorang bapa kepada tiga orang anak didapati mencuri barangan makanan bernilai RM27.00 dari Pasar Raya Tesco di Alma, Bukit Mertajam untuk anak-anaknya yang berada dalam kelaparan.
Sebelum itu, seorang wanita dihukum penjara satu hari dan denda RM200 kereana mencuri sepeket Milo untuk anaknya yang berusia dua tahun.
“Mengikut statistik kerajaan, ketua rumah yang berpendapatan miskin atau miskin tegar telah bertambah 100,000 sejak lima tahun yang lepas. Sehingga Februari tahun 2016, populasi orang miskin dan miskin tegar (ketua rumah) adalah sebanyak 228,873 orang,” menurut Khai Loon.
“Kes penganggur di Bukit Mertajam adalah satu contoh di mana negara telah memaksa rakyatnya terperangkap dalam aktiviti jenayah.”
Pemimpin muda PKR itu seraya menyarankan kerajaan supaya membatalkan perlaksanaan GST, meningatkan keberkesanan jaringan keselamatan sosial, mengkaji semula dasar gaji minimum, menjamin hak pekerjaaan dan memilih pekerjaan, dan mewujudkan keadaan pekerjaan yang adil.
