‘MSG bukan penyebab kanser, keguguran rambut’

‘MSG bukan penyebab kanser, keguguran rambut’

Bersandarkan data daripada kajian saintifik berwibawa dan petikan kata-kata para pakar, Ajinomoto (Malaysia) Berhad menolak persepsi terhadap MSG, yang didakwa menjadi penyebab kanser dan keguguran rambut.

ajinomoto

KUALA LUMPUR:
Nasihat yang sering disampaikan kepada kita, “jangan mudah percaya mengenai semua yang dibaca atau didengar”, terserlah kebenarannya bagi 32 anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) apabila mereka melakukan lawatan ke ibu pejabat Ajinomoto (Malaysia) Berhad di Jalan Kuchai Lama di sini hari ini.

Dalam lawatan dua jam ke premis syarikat berkenaan, termasuk Muzium Ajinomoto, anggota Benita diberi taklimat tentang sejarah, operasi kilang, produk dan cara produk syarikat itu diproses.

Pakar bersekutu syarikat itu, Jason Ho, yang melayan rombongan Benita dengan amat mesra, juga menjawab semua soalan sensitif berkaitan bahan yang sering menjadi mangsa kritikan, monosodium glutamate (MSG).

Bersandarkan data daripada kajian saintifik berwibawa dan petikan kata-kata para pakar, Ho menolak persepsi terhadap MSG, yang didakwa menjadi penyebab kanser dan keguguran rambut.

“Sebenarnya MSG ialah glutamat, asid amino yang kerap terdapat dalam makanan berprotin tinggi. Glutamat dan sodium tidak bersifat karsinogenik.

“Mengenai keguguran rambut, para pakar menjelaskan bahawa ia berpunca daripada genetik, stres dan beberapa penyakit,” kata beliau kepada rombongan itu, yang diketuai pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa.

MSG adalah bahan utama bagi produk paling popular keluaran syarikat itu, Aji-No-Moto.

Selain Aji-No-Moto, syarikat itu juga menghasilkan produk perisa seperti Tumix, Seri Aji and Aji-Shio.

Diasaskan di Jepun pada 1909, syrikat itu kini beroperasi di 26 negara dan mula bertapak di Malaysia pada 1961.

Sebelum mengakhiri lawatan mereka, rombongan itu menyaksikan demonstrasi masakan oleh dua anggotanya, Nurannisah Balqish dan Faridah Al-Akmal Mohd Salleh, dengan bimbingan Ho.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.