Usul Majlis Peguam desak AG letak jawatan dikecam

Usul Majlis Peguam desak AG letak jawatan dikecam

Tindakan itu dilihat sebagai mempertikaikan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

apandi-ali
PETALING JAYA: Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) mengecam tindakan Majlis Peguam yang ingin membahaskan usul mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali meletakkan jawatan serta merta pada 19 Mac ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Jawatankuasa Eksekutif JALSOA berkata, tindakan Majlis Peguam itu dilihat mempertikaikan proses perundangan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini dilihat sebagai mengganggu pelaksanaan kuasa dan budi bicara Peguam Negara seperti diperuntukkan oleh Fasal (3) Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan ini juga telah mengundang rasa tidak puas hati kepada JALSOA yang sebahagian daripada institusi perundangan Malaysia, berperanan melaksanakan tugas menegakkan keadilan dan melindungi kedaulatan undang-undang negara ini,” katanya.

JALSOA akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa bagi membahaskan usul menolak campur tangan dan tekanan oleh mana-mana badan lain dalam urusan institusi Peguam Negara.

“Ini selaras Perkara 15 (1) Perlembagaan JALSOA untuk melaksanakan kuasa dan budi bicara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Majlis Peguam dilaporkan akan membahaskan usul mendesak Apandi meletakkan jawatan serta merta semasa Mesyuarat Agung Tahunan badan itu yang ke-70 pada 19 Mac ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.