
Dakwa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, syarikat Zhong Ling Nutri Oil Holdings Ltd yang berpengkalan di China itu gagal memuktamadkan audit dalaman syarikat semenjak 2013.
“Kali terakhir syarikat itu membuat audit ialah pada 2013, sejak itu ia tidak pernah memuktamadkan audit syarikatnya dan mengapa pula FGVH mengambil keputusan untuk mengambil alih syarikat yang tidak mampu memuktamadkan audit?
“Sudah tahu ada masalah dalaman kenapa ada perjanjian pengambilalihan?” tanyanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Tony Pua juga mencurigai FGVH yang dikatakan telah membayar deposit sebanyak 25% kepada syarikat tersebut walaupun proses pengambilalihan belum selesai.
Ia sekaligus menunjukkan pengurusan FGVH mengalami kepincangan sehingga gagal membuat keputusan dan tindakan yang wajar dalam usaha mengembangkan perniagaannya, tambahnya.
“Lembaga pengarah perlu mengambil tindakan kepada pengurusan yang cukup lemah. Ini perlu untuk melindungi pemegang saham syarikat dan 90,000 peneroka di seluruh negara,” ujar Tony Pua.
Sebelum ini saham FGVH merudum pada hujung tahun 2015, sehingga mencatat nilai RM1.86 berbanding RM4.55 semasa disenaraikan pada 28 Jun 2012.
Tambah Tony Pua, dengan kejatuhan yang dialami FGVH ketika ini akan menyebabkan prestasi syarikat kerajaan itu bertambah buruk sekiranya mengambil alih syarikat yang bermasalah.