Beliau berkata, pungutan sebenar daripada rejim cukai baharu itu, yang dilaksanakan pada 1 April, 2015, akan diumumkan tidak lama lagi oleh kerajaan.
“Bagi tahun ini, jabatan telah diberikan tugas untuk mengumpul RM39 bilion daripada GST dan kami yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya lapor Bernama.
GST enam peratus itu menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan masing-masing sebanyak 10 peratus dan enam peratus.
Pelaksanaan GST itu merupakan sebahagian daripada program pembaharuan cukai kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai di negara ini.
Mengenai mencapai sasaran bagi tahun ini, Subromaniam berkata, jabatan itu mengambil beberapa inisiatif, termasuk pematuhan dan akan menghantar pasukan auditnya untuk mengesahkan dan bekerjasama dengan perniagaan tempatan.
“Masih banyak kekeliruan dalam kalangan perniagaan tentang pelaksanaan GST. Masih banyak syarikat yang masih tidak bersedia bagi GST.
“Kita jangka, masih terdapat puluhan ribu lagi syarikat yang melebihi syarat untuk mendaftar GST namun, masih belum berdaftar dengan Jabatan Kastam.
“Angka tersebut akan terus berubah dengan penubuhan syarikat-syarikat baharu,” katanya.
Lebih daripada 406,000 syarikat kini berdaftar bagi GST.
Subromaniam berkata, Jabatan Kastam juga sedang menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan tempoh tuntutan GST bagi syarikat.
“Bagi bulan pertama pelaksanaan GST, kami hanya boleh membayar balik 17 peratus (daripada jumlah tuntutan) dalam masa 14 hari, seperti yang ditetapkan undang-undang, tetapi kini angka telah meningkat kepada 70 peratus.
“Kami mengambil banyak inisiatif dan langkah-langkah untuk mencapai angka-angka ini,” katanya sambil menambah banyak negara Eropah mengambil masa lebih dua minggu untuk memproses tuntutan.
