Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan, Mohd Suhaimi Ali berkata, lelaki berusia 30 tahun itu dan rakan-rakannya yang masing-masing berumur 23 hingga 41 tahun ditahan kira-kira jam 4.40 pagi.
Menurutnya, turut dirampas bersama gerombolan itu sebilah parang.
“Suspek pertama telah datang bersama seorang rakan memaklumkan mahu tidur di balai kerana keselamatannya terancam.
“Sebaik masuk ke dalam balai, suspek tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun anggota yang bertugas dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat rakaman video di dalam balai,” katanya yang dipetik dari Harian Metro Online.
Suhaimi berkata, suspek turut memaklumkan mahu berjumpa dengan ketua balai dan beredar sebelum suspek datang semula ke balai bersama empat lagi rakannya dengan salah seorang daripada mereka membawa sebilah parang.
“Kehadiran mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan disedari sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang yang ada di sana,” ujarnya.
Katanya lagi, ketika ditanya, suspek sekali lagi mengamuk dan memaki hamun anggota sebelum kesemuanya ditahan kira-kira jam 7.30 pagi untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, rakaman video berdurasi dua minit tersebar memaparkan seorang lelaki memakai baju Melayu serba merah membuat kecoh di Balai Polis Bukit Payung tersebar di laman sosial.