
Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood, berkata seorang lelaki 39 tahun membuat aduan berhubung amukan gajah di KM11 JRTB kira-kira 8.15 malam tadi.
“Pengadu (mangsa) memberhentikan kereta dan mematikan lampu, serta terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang, sebelum tiga ekor gajah tiba-tiba menghampiri kereta,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, pemandu Toyota Vios yang panik itu sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera, tetapi keretanya rosak di bahagian depan, belakang, sisi kanan serta kiri.
Zulkifli menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa, selain tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi apabila berdepan gajah.
Terdahulu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam yang ke lokasi kejadian pada 8.40 malam tadi.
“Didapati ada enam ekor gajah, dengan seekor daripadanya gajah jantan tak bergading sedang naik minyak.
“Tindakan halau dilakukan dan mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Gerik.”
Kejadian itu tular di media sosial selepas video memaparkan sebuah kereta putih remuk pada bahagian depan dan belakang.