Deklarasi Rakyat akan gagal – Ahmad Maslan

Deklarasi Rakyat akan gagal – Ahmad Maslan

Kalau mereka mengusahakan sesuatu, tidak bermakna kita berdiam diri dan biarkan sahaja.

Deklarasi Rakyat

KUALA LUMPUR:
Inisiatif ‘Deklarasi Rakyat- Selamatkan Malaysia’ oleh Tun Mahathir Mohamad bersama-sama pembangkang dan NGO akan menempa kegagalan.

Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kempen ‘Selamatkan Malaysia’ seperti itu sudah lama dilaungkan oleh pembangkang namun, yang menang Pilihanraya Umum ke-12 dan ke-13 tetap BN.

“Saya fikir usaha ini akan gagal kerana kalau mereka mengusahakan sesuatu, tidak bermakna kita berdiam diri dan biarkan sahaja.

“Kita akan jelaskan kepada rakyat menggunakan kaedah penerangan melalui Tan Sri Annuar Musa (selaku Ketua Penerangan Umno) dan di media sosial di bawah penjagaan saya,” kata jeneral perang siber UMNO itu dalam sidang media hari ini.

Beliau juga menyatakan majoriti isi kandungan dalam deklarasi tersebut sudah dijawab oleh kerajaan, cuma jawapan itu tidak pernah dipersetujui oleh pihak tersebut.

“Begitu banyak inisiatif positif yang dibuat sejak 2009 oleh Perdana Menteri dan perkara inilah yang akan kita sebarkan,” katanya lagi.

Ahmad Maslan berkata demikian dalam sidang media pengumuman penubuhan ‘Keyboard Warriors’, gabungan sepuluh NGO pro-Umno yang akan memberi penjelasan berhubung isu-isu semasa di media sosial.

Sewaktu sidang media yang sama, ketika wartawan meminta Ahmad mengulas inisiatif ‘Deklarasi Rakyat – Selamatkan Malaysia’ akan berjaya atau tidak, wakil Sahabat Ulil Amri – salah sebuah NGO dalam gabungan ‘Keyboard Warriors’ – Dr Ibrahim Asyaari memintas lalu menyoal sama ada Malaysia sebuah negara yang selamat atau tidak.

Terkejut dengan reaksi itu, wartawan berkata “bukan tempat saya untuk jawab soalan itu”.

Ibrahim kemudiannya menempelak wartawan: “Kalau bukan tempat kamu (media), jangan bangkitkan persoalan itu. Saya sudah ke seluruh dunia, Malaysia adalah negara paling selamat.”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.