Singkir Najib supaya Mukhriz cepat jadi PM

Singkir Najib supaya Mukhriz cepat jadi PM

Blog pro-UMNO, MyKMU menyifatkan tindakan Mahathir itu sebagai langkah untuk mempercepatkan laluan anaknya.

mukhriz
PETALING JAYA: Blog pro-UMNO, MyKMU menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menyingkir Datuk Seri Najib Razak adalah kerana mahu anaknya menjadi Perdana Menteri.

MyKMU berkata, alasan menyingkirkan Najib kerana masalah negara hanyalah wayang bekas Perdana Menteri kerana beliau ingin mempercepatkan laluan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerajui Putrajaya.

Katanya, sekiranya Najib meletakkan jawatan dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin juga akan disingkirkan supaya Mukhriz boleh mengambil alih kepemimpinan negara.

“Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tidak lama memerintah. Kini Dr Mahathir juga tidak mahu Najib lama memerintah. Dia mahu jatuhkan (Najib) seperti Pak Lah.

“Selepas Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir akan gerakkan segenap usianya selagi hidup untuk menjatuhkan Muhyiddin pula. Dan selepas itu, penulis yakin Dato’ Seri Mukhriz akan diberi laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri,” kata MyKMU lagi.

Sementara itu, MuKMU menggesa UMNO tidak lagi menerima kembali mana-mana ahli yang keluar daripada parti itu.

MyKMU berkata, ia bagi menjaga kehormatan UMNO daripada golongan ‘oportunis’ yang menganggap parti itu sebagai milik mereka.

“Sesiapa sahaja yang ‘buat perangai’, keluar parti sesuka hati begitu sahaja dan kemudian memohon untuk sertai semula, tidak wajar lagi untuk diterima menjadi ahli UMNO.

“Mereka perlu disaring dengan lebih ketat. Kali kini tidak kira siapa yang memohon menyertai UMNO semula, walau Dr Mahathir sekalipun, permohonan mereka sepatutnya ditolak dengan tegas,” kata MyKMU.

Merujuk kepada tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar UMNO pada 29 Februari lalu, MyKMU berkata, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah menganggap UMNO seperti parti milik sendiri, dan boleh keluar masuk sesuka hatinya.

Langkah Mahathir itu disusuli oleh bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Selain itu, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang dianggotai lebih 400 ketua cawangan UMNO turut mengancam mengambil tindakan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.