Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata e-mel palsu yang didakwa ditandatangani oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh memaklumkan bahawa penerima mempunyai dana di POSB Bank di Singapura.
Asmawati berkata, penerima e-mel juga diminta untuk menghubungi seorang lelaki bernama ‘Encik JK Ritchie’ yang kononnya pengurus bank berkenaan untuk membekalkan butiran peribadi.
“Ini adalah e-mel palsu dan Datuk Seri Mohmad Salleh mahupun PDRM tidak pernah terlibat di dalam sebarang bentuk sebaran e-mel sedemikian.
“Orang ramai dinasihat untuk tidak menghubungi individu yang dimaksudkan dalam e-mel berkenaan kerana ia jelas merupakan satu penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dalam menilai setiap emel atau apa jua bentuk mesej meragukan yang diterima melalui rangkaian komunikasi serta menghubungi pihak berwajib untuk pengesahan lanjut.