Itu persoalan yang dilontarkan oleh Awang Selamat menerusi analisisnya dalam Mingguan Malaysia.
Menurutnya, ini disebabkan dari segi sejarah dan latar belakang hubungan Dr Mahathir dengan pemimpin DAP dan PKR amat tebal dengan permusuhan walaupun dalam politik segala-galanya berkemungkinan.
“Namun realiti untuk padamkan episod hitam bukanlah mudah. Mereka akan terus dihantui rasa curiga dan waspada termakan jerat muslihat politik, apatah lagi Dr Mahathir, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim makin dimamah usia.
“Dimalukan dan gagal besar pada penghujung usia, lagi sakit rasanya,” katanya.
Awang dalam pada itu turut tidak terkejut dengan perkembangan terbaru politik tanah air yang berlaku kini.
“Sejak tahun-tahun ini kebelakangan ini, Dr Mahathir yang juga mantan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah menampakkan aliran dan petanda ke arah itu.
“Siapa sangka Dr Mahathir sanggup berbaik-baik dan menjalin gerakan bersama Kit Siang dan Anwar. Umpama mimpi dalam mimpi,” katanya.
Tambahnya, keterdesakan Dr Mahathir tidak dapat disembunyikan setelah gagal menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak tahun lalu.
Beliau berpandangan, Dr Mahathir tidak kisah akibat yang dilakukannya kepada UMNO dan BN yang lebih dua dekad diterajuinya.
“Kepada Kit Siang dan Anwar, tindakan Dr Mahathir menjatuhkan ego merayu mereka bekerjasama dilihat sebagai kejayaan besar. Umpama sudah mengantuk disorongkan bantal,” katanya.