Katanya, cadangan pindaan itu hanya melibatkan pembocor rahsia kerajaan sahaja kerana dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara.
Jaminan itu diberikan Apandi ketika menerima kunjungan Majlis Eksekutif Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJM) di pejabatnya, hari ini.
“Saya juga ingin menjelaskan tidak menyekat kebebasan wartawan menulis laporan mengikut fakta yang sahih serta etika kewartawanan,” kata Apandi, seperti yang dinyatakan NUJM dalam satu kenyataan media selepas pertemuan itu.
NUJM berkata, Apandi memaklumkan pindaan OSA itu hanya cadangan dan ia terpulang kepada kerajaan untuk membuat tindakan lanjut sama ada menerima ataupun menolaknya.
Apandi berkata, kuasa melulus sesuatu pindaan undang-undang bukan di bawah kuasanya sebaliknya perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.
“Semua orang boleh bagi pandangan termasuk saya tetapi pandangan itu terserahlah kepada kerajaan sama ada untuk terima atau tidak. Jabatan kami tidak membuat sebarang polisi,” jelas Apandi kepada NUJM.
Dalam pertemuan selama lebih satu jam itu, NUJM turut menyampaikan memorandum yang menyenaraikan 10 perkara bagi melindungi hak wartawan menulis laporan tanpa rasa takut dan bimbang dikenakan tindakan OSA.
Sebelum ini, Apandi dilaporkan berkatan, beliau sedang mempertimbangkan untuk meminda OSA 1972 bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.
Akhbar Sinchew Daily melaporkan Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan kepada mereka yang didapati bersalah.
