#SahabatMatSabu kutip RM79,880 dalam seminggu

#SahabatMatSabu kutip RM79,880 dalam seminggu

Kumpulan aktivis yang menganjurkan kutipan itu yakin berjaya mengutip derma RM200,000 dalam tempoh sebulan.

Mandeep-Singh_mat-sabu_wan-ahmad_ringgit_600

PETALING JAYA:
Dalam tempoh seminggu, kumpulan #SahabatMatSabu berjaya mengutip RM79,880 bagi membantu Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu membayar saman kepada bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Jurucakap kumpulan itu, Mandeep Singh berkata, dengan perkembangan memberangsangkan itu, pihaknya mensasarkan akan dapat mencukupkan jumlah RM200,000 dalam tempoh sebulan.

“Setakat semalam, kita telah berjaya kutip RM79,880. Kami agak terkejut dengan sambutan yang boleh dikatakan amat berjaya ini.

“Saya rasa sebulan lagi kami akan dapat mencukupkan jumlah RM200,000,” katanya kepada FMT.

Katanya lagi, peranan #SahabatMatSabu hanyalah untuk meraih dana dan akan segera menyerahkan kutipan kepada pihak Mat Sabu selepas mencapai sasaran.

Inisiatif itu digerakkan sekumpulan aktivis sejak 17 Februari lalu bagi membantu Mat Sabu daripada diisytihar muflis, selepas Mahkamah Persekutuan mengarahkannya membayar RM200,000 kepada Wan Ahmad dalam satu kes saman fitnah, dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir menyeru orang ramai yang mahu membantu untuk terus menghubungi #SahabatMatSabu.

“AMANAH tidak terlibat dalam kutipan ini, maka orang ramai boleh terus arahkan sumbangan kepada #SahabatMatSabu. Mat Sabu adalah pejuang demokrasi yang sudah sekian lama berjuang,” katanya lagi.

Orang ramai ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi talian 011-35712316.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.