Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan Rafidah bebas untuk menyatakan hasrat dan pandangan beliau.
“Kita amalkan kebebasan bersuara, jadi lantaklah dia nak cakap apa. Orang sekarang tidak dengar cakap dia (Rafidah) dah.
“Dia dulu pun kalah dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil, jadi dia nak menyalak pun lantaklah,” katanya dalam sidang media di Persidangan Meja Bulat Kebangsaan 2016 Edisi Pelancongan Masjid, hari ini.
Jelas Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi, bekas Menteri Perdagangan dan Industri serta bekas ketua wanita UMNO itu sudah tidak punya apa lagi.
Ini kerana katanya, beliau (Rafidah) sudah tidak memegang apa-apa jawatan di dalam UMNO dan juga kerajaan.
“Rafidah bukan siapa-siapa. Dia ahli biasa, dia sudah tidak penting” katanya yang memegang portfolio Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Sebelum ini, Rafidah mengingatkan rakan-rakan politiknya di dalam kerajaan tentang kisah ‘maharaja tanpa baju’ selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.