Lumba haram secara sah menerusi program ‘Mat Motor’

Lumba haram secara sah menerusi program ‘Mat Motor’

Pihaknya kini sedang berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, UMNO dan Barisan Nasional bagi melaksanakannya.

Mat-motor
KUALA LUMPUR : Kerajaan merancang untuk melaksana program kepada ‘Mat Motor’ untuk berlumba di jalan raya secara sah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, UMNO dan Barisan Nasional berkenaan hal tersebut.

“Mungkin kita akan buat sekali atau dua dalam seminggu, pada hari tersebut, kita rancang hari tanpa kenderaan tetapi untuk Mat Motor berlumba pada waktu malam.

“Kita akan kawal situasi, memahami bahawa ia merupakan hiburan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Jalan dan Jambatan Yang Menghubungkan Kampung Batu Muda Ke Taman Metropolitan Batu di sini hari ini.

Tengku Adnan atau Kunan menambah, Mat Motor ini tidak mempunyai cara lain untuk menghiburkan diri mereka kerana kos yang tinggi.

“Dan kerana majoriti daripada Mat Motor ini mereka bekerja dengan kerajaan sebagai PA (Pembantu Rendah Awam).

“Kita akan bagi satu tempat yang sesuai dan mungkin kita akan anjur festival, kita panggil ‘food truck’ jual makanan dan perkara lain supaya mereka tidak berlumba secara haram,” tegasnya.

Katanya, pihaknya turut akan memberikan alat ganti kepada Mat Motor dan mengajar mereka tentang kerja-kerja baik pulih kenderaan.

“Ini yang kita akan buat. Daripada situ mereka boleh menjadi mekanik, buka bengkel dan meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.