Azrol Nizam menerusi Facebooknya berkata, dia dan rakan-rakanya telah menyahut cabaran Zahid dengan bekerja sebagai pembersih longkang di sebuah syarikat simen dengan bergaji RM800 walaupun mempunyai kelulusan Diploma dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari sebuah institusi swasta.
Dia juga sempat mengambil gambar selfienya bersama rakan-rakannya yang sedang membersihkan longkang dan mendedikasi gambar itu kepada Zahid.
“Baiklah buat Tuan Zahid Hamidi, saya berumur lingkungan 20 tahun. Masih belia kan? Sebelum ini saya telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan.
“Pengalaman kerja saya sangat luas. Semua kerja dalam penghawa dingin, duduk di depan komputer buat pelbagai paperwork (kertas kerja). Termasuk pernah bekerja sebagai pelayan restoran di ibu kota.
“Namun setelah dicabar Tuan Zahid Hamidi, saya sahut cabaran Tuan dan kini saya bersama rakan-rakan belia yang seperjuangan dengan saya menyahut cabaran bekerja di sebuah kilang simen sebagai pembersih longkang dengan gaji hanya RM800. Dah tolak EPF+SOCSO tinggal RM700. Adakah kami malas?,” soalnya kepada Zahid.
Azrol turut mempersoalkan bagaimana nasib belia yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi tidak mendapat gaji yang setimpal apabila bekerja dalam sektor 3D.
Dia turut mencabar agar Zahid menaikkan gaji sektor 3D sekurang-kurang RM1,300 kerana terdapat belia yang telah membuktikan mereka bukan pemalas dan sanggup bekerja di sektor 3D.
“Tuan boleh katakan sesuka hati dan membuat sesuka hati? Bukan kami pemalas, realitinya hasil gaji.
“Jika Tuan cabar kami, dan kami sahut cabaran Tuan. Sekarang kami belia sahut cabaran Tuan naikkan basic gaji 3D sekurang-kurang RM1,300. Kami dah sahut, Tuan macam mana?,” soalnya.
Sebelum ini, Zahid mencabar belia untuk bekerja di dalam sektor 3D untuk mengelak pengambilan pekerja asing di negara ini.
