Ling Thien Yik, 28, mencintai seorang gadis Melayu sejak mereka berumur 18 tahun dan dia berhasrat untuk mengahwininya dalam masa terdekat.
Beliau sanggup berhadapan dengan cabaran yang merintangi impiannya itu.
“Saya jatuh cinta pertama kali melihatnya. Hakikat bahawa dia beragama Islam tidak terlintas dalam fikiran kerana bagi saya, saya hanya mahu mengenalinya.
“10 tahun kemudian, perasaan ini semakin kuat dan sekiranya saya perlu berkhatan atau menukar agama untuk mengahwininya, saya sanggup. Bagi saya, perkara itu bukan satu masalah.”
Cuma yang mengganggunya, katanya kepada FMT ialah menukar agama demi cinta pada agama itu dan bukan sekadar cinta pada teman wanitanya. Juga, memeluk agama yang berbeza daripada anutan ibu bapa pasti membuatkan mereka berasa sedih.
“Ibu bapa saya penganut Kristian yang tegar dan meskipun mereka tahu dan mengizinkan hubungan ini, saya dapat rasakan mereka berasa sedih setiap kali saya bergurau mengenai menukar agama.
“Namun mereka sedar saya mencintai teman wanita saya dan mereka berpesan supaya terus melakukan perkara yang membuatkan saya gembira.”
Chan Kin Wai, 24, pula bercinta dengan pasangannya sejak empat bulan lalu. Gadis itu, sepertimana pasangan Thien Yik, juga beragama Islam.
“Walaupun dia degil, tetapi di bawah kedegilan itu insan yang mempunyai hati yang baik dan tidak agak teragak-agak membantu peminta sedekah. Itu antara sebab saya menyayanginya.
“Saya tidak nafikan bahawa ada kalanya saya terfikirkan perbezaan antara agama kami, tetapi cinta mengatasi segalanya. Ya, saya akui saya takut, tetapi saya sanggup lakukan apa sahaja untuk bersamanya.
“Termasuklah potong kulit anu,” katanya kepada FMT.
Kin Wai bagaimanapun kesal Malaysia menuntut seseorang yang bukan Islam menukar agama sekiranya mahu mengahwini pasangan yang beragama Islam, dan berpandangan undang-undang tidak seharusnya mencampuri urusan peribadi seseorang.
