Asri hulur salam damai kepada Zamihan

Asri hulur salam damai kepada Zamihan

Ia boleh meneruskan perbezaan tetapi dengan cara bersopan santun dan tidak perlu untuk mengkafirkan orang lain atau memakinya.

Mohd-Asri_Zamihan-Mat-Zin_600
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zanul Abidin menghulurkan salam damai kepada Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zain.

Memetik laporan Sinar Harian Online, Mohd Asri dilapor berkata, perdebatan mengenai perkara-perkara tidak besar dalam agama perlu dihentikan.

“Majlis ini telah selesai, orang telah dengar apa yang nak dijelaskan, saya hulurkan kepadanya (Zamihan) salam harmoni dan perdamaian.

“Beliau boleh teruskan perbezaan tetapi dengan kesopanan dan kesantunan. Berbeza pandangan itu tidak menjadi masalah kerana ramai yang berbeza pandangan tetapi tidak perlu untuk kita mengkafirkan (orang lain) dan tidak perlu kita memaki orang. Cukup setakat kita beritahu perbezaan kita,” katanya menerusi laporan itu.

Bagaimanapun katanya, jika perlu juga diadakan debat ia haruslah memberi manfaat kepada orang Islam.

Katanya, berdebat tidak bertentangan dengan agama kerana dalam al-Quran ada menyatakannya.

“Berdebatlah dengan mereka melalui cara baik tetapi tujuannya adalah untuk beri pencerahan dan ilmu,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, polemik dan krisis yang melanda golongan ilmuan agama mempunyai kaitan dengan usaha menjaga pengikut masing-masing.

“Saya cakap secara umum, kadang-kadang krisis dan polemik yang melanda golongan agama bukan kerana soal fakta tetapi kerana cuba menjaga pengikut masing-masing.

“Dengan ada engikut orang itu boleh kekalkan posisi yang ada dan dengan posisi itu dia dapat manfaat. Ini bukan sahaja berlaku dalam Islam tetapi turut berlaku dlam agama lain,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.