Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata demikian mengecam kenyataan Presiden Pertubuhan Rapat Malaysia (RAPAT) A Rajaretinam yang menyatakan kemasukan itu akan menyebabkan kes rogol meningkat, selain mengancam keselamatan negara.
Rajaretinam dalam kenyataannya semalam di Malay Mail Online berkata pekerja Bangladesh ini akan bertindak seperti memiliki lesen untuk merogol. Beliau juga mempersoal jenis tindakan yang akan diambil terhadap mereka kelak.
Manakala, Charles Santiago pula menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat dengan realiti semasa dan hanya bertujuan menakut-nakutkan warga tempatan.
“Ia tidak berdasarkan fakta. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2015 menunjukkan hanya kira-kira lima peratus jenayah yang melibatkan warga asing, selebihnya melibatkan warga Malaysia sendiri,” dakwanya.
Menyifatkan trend tuduhan terhadap warga asing sebagai sesuatu yang tidak sihat, beliau menggesa agar semua pihak bertumpu kepada isu sebenar.
“Isunya adalah hilangnya peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan kemasukan warga asing yang akan mengkayakan kerajaan dan agen tenaga kerja,” katanya lagi.
