Zamihan terima hukuman ditukar jabatan

Zamihan terima hukuman ditukar jabatan

Zamihan diletakkan di Jabatan Sumber Manusia selepas ditukarkan semula ke JAKIM

Zamihan

PETALING JAYA:
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin menerima hukuman apabila beliau yang juga merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) dan bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberikan notis 24 jam untuk bertukar semula ke JAKIM.

Malaysia Gazette melaporkan, arahan itu berkuatkuasa serta-merta dan Zamihan diletakkan di Jabatan Sumber Manusia JAKIM.

Menurut laporan tersebut, hukuman ke atas Zamihan itu ada kaitannya dengan cabaran debat antara beliau dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sepatutnya berlangsung hari ini, namun terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Terdahulu, Zamihan masih menyatakan kesediaannya untuk berdiskusi dengan Mohd Asri walaupun ia diadakan dalam satu majlis berskala kecil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihati supaya ‘debat’ yang sepatutnya diadakan hari ini di Putrajaya dibatalkan.

Zamihan sebelum ini didakwa menuduh Mohd Asri pengikut Wahabi manakala Mohd Asri mendakwa Zamihan pula seorang pro Syiah dan ia menjadi viral di media sosial sejak kebelakangan ini.

Kemuncaknya apabila Mohd Asri tersenarai antara pendakwah yang tidak dibenarkan berceramah di Johor dan beliau telah mengaitkan Zamihan sebagai dalang walaupun dinafikan oleh Zamihan sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.