Ringgit tidak merudum selepas saya bersara – Zeti

Ringgit tidak merudum selepas saya bersara – Zeti

Penyusutan atau peningkatan nilai Ringgit dipengaruhi faktor domestik dan antarabangsa bukan individu.

zeti_economy_600_

KUALA LUMPUR:
Nilai Ringgit tidak akan merudum selepas tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tamat April ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Zeti, sekaligus menafikan dakwaan bahawa nilai Ringgit akan merudum selepas beliau bersara.

Beliau berkata, dirinya bukanlah satu faktor kepada penyusutan atau peningkatan nilai Ringgit sebaliknya dipengaruhi faktor dalaman negara dan antarabangsa.

“Tidak, (ketika menjawab mengenai dakwaan Ringgit akan jatuh apabila beliau tamat tempoh perkhidmatan).

“Kejatuhan atau kukuhnya nilai Ringgit adalah berdasarkan kepada perkembangan domestik dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita di Sasana Kijang, BNM, hari ini.

Tegas Zeti lagi, apa yang perlu dan terus dilakukan kerajaan ialah memastikan ekonomi negara terus berkembang dan serta negara mempunyai rizab yang kukuh.

“Apa yang penting adalah ekonomi kita terus berkembang, kukuh dan simpanan kita kekal di tahap yang kukuh,” jelasnya.

Zeti yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada April ini setelah berkhidmat selama 16 tahun menyatakan sehingga kini tiada pihak termasuk kerajaan Pusat yang memintanya untuk terus kekal mengetuai bank pusat itu.

Beliau bagaimanpun tidak mahu memegang apa-apa jawatan lagi kerana berhasrat untuk terlibat dalam bidang penulisan dan membantu institusi pendidikan.

“Saya akan menulis, akan memberikan sokongan kepada institusi pendidikan. Saya tidak akan memegang mana-mana jawatan lagi,” katanya yang pernah diiktiraf sebagai gabenor bank pusat terbaik di dunia untuk beberapa tahun oleh Global Finance.

Pada masa yang sama, Zeti masih enggan mendedahkan calon-calon penggantinya. sebaliknya meminta supaya semua pihak bersabar dan menanti pengumuman pelantikan Gabenor BNM yang baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.