Deepa, Izwan mangsa kegagalan kerajaan BN

Deepa, Izwan mangsa kegagalan kerajaan BN

Isu Izwan dan Deepa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membetulkan keadaan dan bukannya membiarkan mereka menjadi mangsa kegagalan sistem perundangan.

yusmadi2
PETALING JAYA: S Deepa dan bekas suaminya, Izwan Abdullah menjadi mangsa kegagalan kerajaan memastikan sistem perundangan berjalan baik dan adil terutamanya melibatkan hak penjagaan anak hasil perkahwinan campur.

Peguam, Yusmadi Yusoff membuat kritikan itu kerana melihat kerajaan gagal berfungsi dengan baik dalam menentukan hak keadilan kepada rakyat.

“Isu Izwan dan Deepa merupakan tanggungjawab pihak kerajaan untuk membetulkan keadaan dan bukannya membiarkan mereka menjadi mangsa.

“Meraka ini adalah mangsa kepada satu sistem perundangan yang gagal berfungsi, apatah lagi untuk menyakinkan rakyat bahawa isu ini dapat diurus dengan baik. Lebih teruk lagi, ada pihak berkepentingan mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem perundangan dan bagi saya kelemahan itu perlu diurus kerajaan,” katanya kepada FMT di sini, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen PKR Balik Pulau itu berkata, kegagalan sistem perundangan berfungsi dengan baik dan adil menyebabkan rakyat keliru berhubung hak penjagaan terutamanya melibatkan perkahwinan campur.

“Undang-undang bukan mementingkan apa pandangan Izwan dan apakah pandangan Deepa, tetapi undang-undang mementingkan kepentingan anak-anak membesar tidak terabai, janganlah memangsakan anak-anak di atas kelemahan ibu bapa.

“Ramai orang salah faham apabila seorang memeluk Islam, isteri dan anak yang tidak memeluk Islam boleh diabaikan, bagi saya itu bukan undang-undang yang betul. Tanggungjawab ibu bapa ke atas anak berterusan,” katanya.

Mahkamah baru-baru ini memberi hak penjagaan anak lelaki kepada Izwan, manakala anak perempuan diberi hak penjagaan kepada Deepa.

Keputusan itu dibuat panel hakim selepas menemubual dua kanak-kanak itu.

Deepa menganggap keputusan itu tidak adil, tetapi Izwan menyambut baik kerana memberi hak sama rata.

Terbaharu, Izwan dilaporkan memberi amaran bahawa dia akan merebut anak perempuan jika Deepa berkeras membesarkan anak mereka sebagai penganut Hindu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.