MARA masih gagal tuntut RM14 juta

MARA masih gagal tuntut RM14 juta

Rafizi Ramli mendesak MARA menuntut sejumlah wang itu daripada individu yang dikaitkan dengan pembelian berlebihan asrama pelajar di Australia pada 2013.

sMARA

KUALA LUMPUR:
Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa masih gagal mendapatkan semula wang terlebih bayar bagi pembelian asrama pelajar di Australia berjumlah RM14 juta biarpun perkara itu didedahkan lapan bulan lalu.

Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW), Rafizi Ramli berkata, MARA menerusi anak syarikatnya, Thrushcross Land Holdings Limited telah membayar AUD22.5 juta untuk membeli Dudley House di Melbourne pada 2013, iaitu AUD4.75 juta atau RM14 juta lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Dalam sidang media hari ini di Pejabat NOW di Sungai Besi, Rafizi menunjukkan dokumen yang difailkan MARA di mahkamah di Australia dan nama-nama individu yang dikaitkan dengan pembelian berlebihan itu.

Katanya, dokumen itu menunjukkan dengan jelas AUD4.75 juta atau bersamaan RM14 juta mengikut kadar pertukaran semasa telah dibayar oleh syarikat pemaju Wanissa Properties Pty Ltd kepada tiga syarikat iaitu Leuven Capital Sdn Bhd, Optimus Capital Group of Companies Sdn Bhd and TRR Heritage Sdn Bhd.

Wanissa Properties Pty Ltd merupakan syarikat pemaju Dudley House.

“Tiga syarikat ini berkait secara langsung dan tidak langsung dengan MARA. Antara individu yang dinamakan dalam dokumen mahkamah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Bhd, Ahmad Nazim Abdul Rahman.

“Dengan masalah yang yang sedang dihadapi MARA untuk membiayai pelajar, saya mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan untuk mendapatkan semula wang terlebih bayar ini,” katanya.

Transaksi berlebihan oleh MARA itu didedahkan akhbar Australia, The Age, pada Jun tahun lalu, kemudian NOW memberikan maklumat pembelian itu secara lebih terperinci.

Dalam pendedahan itu, Rafizi mendedahkan pembelian itu ada hubungan dengan seorang individu yang ada kaitan dengan EXCO Pemuda UMNO.

Beliau mendakwa sejumlah RM14 juta yang terlebih bayar itu disalurkan kepada syarikat yang ada kaitan dengan seorang individu yang menurut Rafizi ada hubungan persaudaraan dengan seorang EXCO Pemuda UMNO.

“EXCO Pemuda UMNO ini juga terlibat dengan syarikat yang dinamakan dalam dokumen mahkamah iaitu Optimus Capital dan Leuven.

Invois yang ditunjukkan Rafizi kepada media pada sidang akhbar itu menunjukkan syarikat Vanissa Properties membayar tiga syarikat itu untuk perkhidmatan rundingan, nasihat profesional, yuran promosi dan komisen.

Sejumlah AUD3,350,00 dibayar kepada Leuven Capital, AUD675,000 dibayar kepada Optimus Capital and AUD725,000 pula dibayar kepada TRR Heritage yang kesemuanya berjumlah AUD4.75 juta atau RM14 juta.

Dengan maklumat-maklumat itu, Rafizi mendesak MARA menuntut semula RM14 juta daripada individu terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.