
Dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian hari ini, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berpandangan rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk menilai pandangan yang berbeza dan membuat keputusan sendiri.
“Saya berharap supaya debat ini tidak mengulangi nasib debat Umno-Pas (pada 1990-an) yang dibatalkan pada saat akhir kerana arahan pihak atasan.
“Saya juga berharap ia disiar secara langsung di TV. Rakyat, termasuk bukan Islam, tidak sebodoh yang dianggap sesetengah pihak, yang sebenarnya hanya mahu meneruskan status quo, iaitu semuanya dibuat secara tertutup dan rahsia (rasmi) serta memonopoli maklumat,” katanya.
Diskusi bertajuk “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi” itu dijadual diadakan di di Dewan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya secara tertutup dan dengan kehadiran terhad.
Sebelum itu, beberapa pihak menyoal kewajaran debat itu diadakan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berpendapat ia boleh mencetuskan persengketaan dalam kalangan umat Islam.
Malah, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRRIM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula ketika dihubungi FMT sebelum ini menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak berfaedah.
Walau bagaimanapun, Saifuddin pula menyifatkan debat atau diskusi sebagai sebahagian daripada tradisi Islam.
“Menurut surah an-Nahl ayat 125 dalam Al-Quran, ‘Dan serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik; dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik’,” kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.