Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad membuat cadangan itu susulan pertikaian hak penjagaan anak membabitkan wanita beragama Hindu S Deepa dan bekas suaminya Izwan Abdullah yang memeluk Islam.
“Mahkamah khas ini boleh dihadiri hakim mahkamah sivil dan mahkamah syariah untuk cari penyelesaian yang adil.
“Setiap mahkamah sekarang hanya mendengar satu pihak. Islam mempunyai sistem yang adil dan memberikan hak pendengaran kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AMANAH di sini hari ini.
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub pula berkata, kes seperti itu perlu campur tangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencari penyelesaian yang adil.
“Saya harap JAKIM dari semasa ke semasa buat kajian kes seperti ini. Ia perlukan pendekatan baharu. Ini peranan JAKIM,” katanya.
Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan S Deepa mendapat hak penjagaan bagi anak perempuan, manakala bekas suaminya Izwan Abdullah atau nama asalnya N Viran, diberi hak penjagaan untuk anak lelaki.
Keputusan panel lima hakim itu dibuat atas kehendak anak-anak sendiri sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menyerahkan hak penjagaan kedua-dua anak kepada Deepa.
Mahkamah syariah sebelum itu memberi hak penjagaan kedua-dua anak berkenaan kepada bekas suaminya, Izwan.
